SHAH ALAM: Enam premis perniagaan di Pusat Komersial Dataran Otomobil Seksyen 15 di sini diarah tutup serta-merta selepas didapati melanggar syarat lesen.
Operasi bersepadu Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor itu menyasarkan premis yang beroperasi tanpa kelulusan.
Datuk Bandar MBSA Datuk Mohd Fauzi Mohd Yatim berkata empat kedai runcit dan dua lagi restoran serta pusat cuci kenderaan dikenakan tindakan tegas.
“Premis ini dikendalikan warga asing, menjual haiwan hidup dan tidak mempunyai lesen perniagaan yang sah,“ jelasnya.
Pemilik diberi tempoh 14 hari untuk memberi penjelasan dan membuat pembetulan.
Operasi selama dua jam itu melibatkan pemeriksaan 89 premis di Jalan Pahat H dan J dengan kerjasama 27 pegawai JIM.
Tindakan diambil berdasarkan Undang-Undang Kecil Pelesenan Establisymen Makanan (MBSA) 2007 dan Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (MBSA) 2007. – Bernama