KUALA LUMPUR: Pemain sepak takraw negara, Farhan Adam memasang impian besar untuk membantu Malaysia menjuarai acara regu berpasukan di Kejohanan Sepak Takraw Piala Raja Thai 2024 Divisyen Premier, dijadualkan berlangsung di Korat, Thailand dari 1-8 Sept ini.

Farhan yang beraksi di posisi apit kiri, bagaimanapun mengakui hal itu bukanlah mudah dan memerlukan kerjasama pelbagai pihak khususnya para pemain, dalam merealisasikan misi balas dendam susulan kekalahan 1-2 kepada Thailand dalam acara itu pada Piala Dunia Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF) Mei lepas.

“Acara berpasukan ialah acara yang paling susah untuk skuad sepak takraw Malaysia sebab ketiga-tiga regu kena kuat, tak boleh salah satu (sahaja kuat) dan semua kena main peranan.

“Kita kena lebih kuat bekerja dan berlatih dan perlu bantu sesama sendiri supaya kita berada pada tahap seimbang dan sama. Sebenarnya kalau kita menang dalam acara berpasukan regu, insya-Allah regu juga kita akan menang,” katanya baru-baru ini.

Dalam pada itu, Farhan atau lebih mesra disapa Emon mengakui belum berhasrat untuk bersara sebagai pemain.

Sebaliknya, atlet yang telah menginjak usia 35 tahun itu menyasarkan untuk terpilih mewakili skuad Malaysia di Kejohanan Piala Asia dan Sukan Sea Thailand tahun hadapan.

“Sekiranya Malaysia jadi tuan rumah saya harap saya akan terpilih, insya-Allah saya akan cuba sehabis baik termasuk (dalam) kejohanan-kejohanan yang lain,” katanya.