• 2025-06-29 02:07 PM

KOTA KINABALU: Seramai 135 peserta dari negara ASEAN dan Timor Leste menyertai Perbincangan Meja Bulat: Kesihatan Mental Belia ASEAN 2025 yang berlangsung selama dua hari di sini.

Forum ini menyatukan pakar kesihatan mental, pemimpin agama, pegawai kerajaan, dan wakil belia untuk menangani isu kritikal ini.

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh menekankan kepentingan kolaborasi pelbagai pihak dalam menangani kesihatan mental belia.

Beliau merujuk kepada dapatan Kajian Indeks Kesihatan Mental Belia Malaysia 2023 (MyMHI’23) yang menunjukkan tahap kesihatan mental sederhana dalam kalangan belia berusia 15 hingga 30 tahun.

“Kerajaan memerlukan sumbangan semua pihak, termasuk pakar perubatan, belia, dan pemimpin agama, untuk berbincang dan mencari penyelesaian,“ katanya semasa perasmian program.

Shahhanim Yahya, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES), pula menyatakan belia kini lebih terbuka meluahkan emosi di media sosial tetapi masih berdepan masalah identiti diri.

“Tekanan yang dihadapi belia datang dari pelbagai sumber, sama ada faktor dalaman atau persekitaran. Kita perlu fahami punca sebenar untuk bantu mereka,“ jelasnya.

Program bertemakan “ASEAN Youth Voice: Empowering Minds, Ensuring Well-being” ini bertujuan memperkukuh kerjasama serantau, berkongsi amalan terbaik, dan meningkatkan kesedaran kesihatan mental dalam kalangan belia.