Your Title

KUALA LUMPUR: Global Infrastructure Partners (GIP) dipilih berikutan persetujuan syarikat itu untuk mengekalkan pelantikan warganegara Malaysia sebagai Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Malaysia Airport Holdings Bhd (MAHB) dan pemilikan kolektif saham majoriti milik negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, selain GIP, pihak lain tidak bersetuju dengan syarat-syarat yang ditetapkan oleh Khazanah Nasional Bhd dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Menurut Anwar, Khazanah dan KWSP menetapkan syarat ketat yang akan menyaksikan pemilikan kolektif Malaysia dalam MAHB meningkat kepada 70 peratus berbanding 41 peratus pada masa ini sebaik sahaja penstrukturan pengendali lapangan terbang itu selesai.

“Khazanah melaporkan bahawa, apabila dibuka untuk pertimbangan pengurusan, 145 syarikat yang berminat dan akhirnya lima yang layak.

“Syarikat lain yang berminat, ia mahu hak mengurus. Maknanya CEO rakyatnya atau ia yang tentukan. Syarat ini tidak diterima (oleh Khazanah dan KWSP). Itulah sebabnya mengapa GIP diambil,” kata beliau pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Anwar menjawab soalan tambahan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) yang ingin tahu mengenai merit pemilihan GIP dalam membantu pengembangan MAHB.