the sun malaysia ipaper logo 150x150
Monday, July 6, 2026
29.7 C
Kuala Lumpur
the sun malaysia ipaper logo 150x150

Hak jagaan sementara adik Zayn Rayyan diberikan kepada nenek saudara

SHAH ALAM: Mahkamah Majistret di sini membenarkan hak penjagaan sementara adik kepada kanak-kanak autisme Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matiin kepada nenek saudaranya, selama dua bulan bermula hari ini.

Majistret Muhammad Syafiq Sulaiman memutuskan demikian semasa prosiding yang dihadiri Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor dan peguam Nurul Ikrimah Mohd Raya yang mewakili keluarga Zayn Rayyan.

Nurul Ikrimah ketika ditemui berkata hak jagaan itu diberikan kepada ibu saudara Zaim Ikhwan Zahari, 29, yang merupakan bapa kepada Zayn Rayyan sehingga 4 Okt ini.

Beliau berkata mahkamah turut menetapkan supaya ibu bapa kanak-kanak itu dibenarkan untuk berjumpa anak mereka seminggu sekali, dengan pengawasan penjaga yang ditetapkan dan tidak melebihi lapan jam.

Katanya mahkamah turut membenarkan Zaim Ikhwan dan Ismanira Abdul Manaf, 29, selaku bapa dan ibu membuat panggilan video pada bila-bila masa dan perlu membawa kanak-kanak itu untuk menghadiri terapi khas sebulan sekali.

JKM sebelum ini memperoleh perintah jagaan sementara selama dua bulan terhadap kanak-kanak itu yang dikeluarkan Mahkamah Majistret Shah Alam di bawah Seksyen 25 (2) Akta Kanak-Kanak 2001.

JKM mengemukakan permohonan perintah jagaan terhadap adik kepada Allahyarham Zayn Rayyan berikutan ibu dan bapa mereka didakwa di Mahkamah Sesyen pada 13 Jun atas pertuduhan mengabaikan kanak-kanak autisme itu, dengan cara kemungkinan menyebabkan kecederaan fizikal terhadapnya.

Pada 6 Dis tahun lepas, mayat Zayn Rayyan ditemukan dalam keadaan terbaring di aliran anak sungai berhampiran rumahnya di Apartment Idaman, Damansara Damai dekat sini selepas dilaporkan hilang sehari sebelumnya.

Kanak-kanak itu dipercayai dibunuh apabila hasil bedah siasat menemukan kesan kecederaan pada leher serta badannya akibat mempertahankan diri.

STAY AHEAD OF THE CURVE

Join our community for instant updates and exclusive content.

Join Telegram Channel

Related


spot_img

Latest News

Most Viewed

spot_img
WC26

World Cup 2026

Updates, Fixtures, Results & Standings