PUTRAJAYA: Hampir 1,000 sekolah telah dipilih dalam Program Sekolah Angkat MADANI yang dilaksanakan dengan kerjasama 117 syarikat swasta bertujuan untuk menangani jurang pendidikan di seluruh negara.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata inisiatif Sekolah Angkat MADANI mencerminkan kepercayaan kerajaan, bahawa pendidikan berkualiti merupakan tanggungjawab bersama.
“Dengan menggabungkan kepakaran kerajaan dan sektor swasta, program ini menyasarkan untuk memastikan tiada pelajar yang ketinggalan.
“Asalnya kita hanya menyasarkan 500 sekolah sahaja, tetapi komitmen yang kita lihat dan kita rasakan tidak adil jika kita tidak jemput badan-badan (syarikat) yang sekian lama memberikan tumpuan kepada sekolah-sekolah kami ini,” katanya pada majlis pelancaran Sekolah Angkat MADANI, yang dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Fadhlina berkata organisasi yang mengambil sekolah angkat, telah memberi komitmen kepada kerjasama jangka panjang yang memfokuskan kepada lima bidang utama, iaitu meningkatkan infrastruktur dan kemudahan sekolah; memperkasakan program akademik dan bimbingan pelajar; memperkukuh latihan serta pembangunan guru; menyediakan bantuan kewangan dan biasiswa; dan membangunkan sahsiah serta kemahiran pelajar.
“Jadi ia (tumpuan) tidak hanya dalam satu segmen sahaja tetapi lebih luas...pembangunan secara keseluruhan sekolah bukan sahaja pembangunan infrastrukturnya, tetapi pembangunan manusiawi itu juga diberikan tumpuan,” katanya.
Sementara itu, Kementerian Pendidikan (KPM) dalam satu kenyataan memaklumkan menerusi Program Sekolah Angkat MADANI, organisasi yang mempunyai sumber meluas dipadankan dengan sekolah-sekolah yang memerlukan sokongan.
Sokongan yang diterima termasuk daripada 32 syarikat swasta, 29 syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), 29 agensi kerajaan serta 27 syarikat milik Menteri Kewangan (Diperbadankan) (MOFI).
Menurut kenyataan itu setiap organisasi memilih sekolah angkat berdasarkan kemampuan mereka dan keperluan khusus sekolah tersebut.
“Pendekatan bersasar ini bertujuan untuk mewujudkan perkongsian lestari yang melangkaui sumbangan kewangan, merangkumi pemindahan kemahiran, program bimbingan serta pembangunan infrastruktur,” menurut kenyataan KPM.
Program yang bermula pada April, diselaraskan secara bersama oleh KPM dan Kementerian Kewangan, dan fasa pertama dijangka selesai pada 31 Dis depan, dengan peluasan program dalam perancangan tertakluk kepada hasil fasa pertama.
Sekolah Angkat MADANI dicetuskan hasil seruan Anwar agar sektor korporat Malaysia memainkan peranan lebih besar dalam pembangunan negara, khususnya dalam bidang pendidikan, yang masih menyaksikan jurang ketara antara sekolah bandar dan luar bandar.