TANJONG KARANG: Hospital Tanjong Karang baharu yang juga merupakan Hospital Pakar Minor berkapasiti 150 katil akan mula beroperasi sepenuhnya pada 10 Okt ini, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Khairy berkata hospital baharu itu yang merupakan hospital pakar minor kedua di Selangor akan memanfaatkan lebih 350,000 penduduk sekitar selain menggantikan bangunan lama hospital tersebut yang telah berusia lebih 56 tahun.

“Sebanyak 10 bidang kepakaran akan diperkenalkan di hospital itu secara berfasa merangkumi pembedahan, kecemasan, perubatan umum, obstetrik dan ginekologi, pediatrik, ortopedik, anestesiologi, radiologi, patologi serta bedah mulut dan maksilofasial.

“Selain itu, hospital ini turut menawarkan perkhidmatan pakar secara lawatan bagi otorinolaringologi (ORL), oftalmologi, psikiatrik dan forensik. Dengan adanya perkhidmatan kepakaran di hospital ini, sebanyak 3,000 kes rujukan melibatkan kos penghantaran pesakit dari Hospital Tanjong Karang ke hospital pakar yang lain dapat dijimatkan kerana kes-kes bagi bidang-bidang tersebut boleh dilaksanakan di sini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Projek Hospital Tanjong Karang di sini, hari ini yang turut dihadiri Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Tan Sri Noh Omar.

Katanya, hospital itu juga akan dilengkapi dengan dua dewan bedah dan wad unit rawatan rapi (ICU) sebanyak empat katil selain satu mesin CT-Scan.

Sementara itu, mengulas mengenai isu kesesakan wad bersalin di hospital kerajaan, Khairy berkata kesesakan itu hanya bermusim ekoran trend peningkatan kelahiran bayi pada September hingga November setiap tahun.

Beliau berkata kementeriannya sedang berusaha memperkukuh pergurusan katil di wad bersalin dan mempercepatkan proses discaj bagi kes berisiko rendah.

“Berdasarkan statistik Kementerian Kesihatan (KKM) menunjukkan kemuncak peningkatan kelahiran direkodkan pada Oktober sehingga turut menyebabkan masalah kekurangan katil.

“Ia bermusim dan tidak dapat dielakkan kerana jumlah kelahiran bayi yang tinggi sepanjang tempoh tiga bulan tersebut.

Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan peruntukan dan perolehan darurat sebanyak RM2.081 juta bagi menaik taraf dua fasiliti kesihatan di Sabak Bernam, dekat sini yang terbakar baru-baru ini. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image