JOHOR BAHRU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor menahan 86 warga asing atas pelbagai kesalahan dalam operasi berasingan di sekitar daerah Mersing, Batu Pahat dan Johor Bahru pada Isnin hingga Rabu lepas.

Pengarah JIM negeri Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata operasi itu melibatkan pegawai daripada Bahagian Penguatkuasaan jabatan itu dan unit penguat kuasa cawangan Batu Pahat serta Mersing.

Beliau berkata tindakan penguatkuasaan itu diambil susulan maklumat awam berhubung pendatang asing tanpa izin (PATI) dan sebanyak 37 premis termasuk rumah kedai dan restoran telah diperiksa.

“Kesemua yang ditahan terdiri daripada 39 lelaki dan dua wanita warga Myanmar, 25 lelaki dan tujuh wanita Indonesia, tiga lelaki Thailand, tiga lelaki Pakistan, dua lelaki Bangladesh, dua lelaki India serta dua lelaki dan seorang wanita Sri Lanka, berumur dalam lingkungan 19 hingga 54 tahun.

“Seorang lelaki tempatan berusia 53 tahun yang merupakan pemilik restoran di Batu Pahat turut ditahan dalam operasi terbabit,“ katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Rusdi berkata kesemua warga asing yang ditahan dipercayai telah melakukan kesalahan di bawah Peraturan 11(7)(a) dan Peraturan 39 (b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, Seksyen 6 (1)(c) dan Seksyen 15 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155).

“Manakala, lelaki tempatan itu ditahan di bawah Seksyen 56 (1) (d) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana melindungi PATI.

“Justeru, kita akan menggiatkan lagi usaha penguatkuasaan bagi membanteras isu kebanjiran PATI dan akan mengenakan tindakan tanpa kompromi terhadap PATI, majikan dan pemilik premis yang menggaji pekerja asing tanpa dokumen perjalanan dan permit yang sah,“ katanya.

Pada masa sama beliau turut menyeru PATI yang berkelayakan untuk menyertai Program Repatriasi Migran, bertujuan untuk mereka pulang ke negara asal secara sukarela yang akan tamat pada 31 Dis depan.

Open Two Websites with Image

Clickable Image