IPOH: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Perak menahan 46 pendatang tanpa izin pelbagai warganegara dalam dua serbuan di enam lokasi iaitu lima restoran dan satu kilang plastik di sekitar daerah Kinta malam tadi.

Pengarah JIM Perak Meor Hezbullah Meor Abd Malik berkata serbuan terbabit dibuat berdasarkan aduan dan hasil pemantauan serta risikan yang telah dijalankan oleh Unit Risikan dan Operasi JIM Perak di kesemua premis berkenaan.

”Pemeriksaan telah dijalankan terhadap 65 warga asing dan sebanyak 46 daripadanya telah ditahan kerana dipercayai dengan munasabah telah melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

”Kesemua mereka yang ditahan berumur antara 20 hingga 56 tahun terdiri daripada 14 lelaki warga Bangladesh, tujuh lelaki dan lima perempuan warga Thailand, tujuh lelaki warga Nepal, tiga lelaki dan lima perempuan warga Myanmar, empat lelaki warga Indonesia dan seorang lelaki warga India,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kesemua pendatang tanpa izin ditahan di Depot Imigresen Ipoh dan disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.