KUALA LUMPUR: India mengurangkan duti import asas bagi minyak makan mentah kepada 10 peratus daripada 20 peratus, berkuat kuasa 31 Mei, dan meliputi minyak sawit mentah (MSM), minyak kacang soya mentah dan minyak bunga matahari mentah.
Dalam nota penyelidikan pada Selasa, CIMB Securities Sdn Bhd menjelaskan pengurangan duti merupakan sebahagian daripada usaha India untuk membendung inflasi makanan dan menggalakkan aktiviti penapisan domestik.
“Ini menandakan penurunan daripada pelarasan sebelum ini pada 14 Sept, 2024, apabila kerajaan India menaikkan duti import asas bagi minyak makan ini kepada 20 peratus daripada sifar peratus,” tambahnya.
CIMB Securities memaklumkan sebagai tambahan kepada duti kastam asas itu, minyak makan tersebut juga tertakluk kepada Cukai Infrastruktur dan Pembangunan Pertanian sebanyak 5.0 peratus dan Surcaj Kebajikan Sosial pada 10 peratus.
“Berikutan semakan terkini itu, duti import yang berkuat kuasa ke atas minyak makan mentah telah dikurangkan kepada 16.5 peratus, daripada 27.5 peratus sebelum ini,” menurutnya.
Bagaimanapun, kerajaan India mengekalkan duti import ke atas minyak sawit bertapis, minyak kacang soya bertapis dan minyak bunga matahari bertapis pada 35.75 peratus, jelasnya.
Tindakan itu sekali gus melebarkan perbezaan duti antara minyak makan mentah dan minyak makan bertapis kepada 19.25 mata peratusan berbanding 8.25 mata peratusan sebelumnya.
“Jurang ketara ini dijangka menggalakkan import minyak makan mentah yang lebih tinggi berbanding minyak makan bertapis, melonjakkan kadar penggunaan di kilang-kilang penapisan India dan menyokong sektor penapisan domestik,” tambahnya.
CIMB Securities menambah duti yang lebih rendah itu juga dijangka membantu mengurangkan harga runcit bagi minyak makan botol di India, yang telah melonjak sebanyak 30 peratus sejak 12 bulan lepas, melembapkan permintaan terhadap minyak masak.
“Peralihan permintaan yang dijangkakan daripada yang bertapis kepada MSM boleh memberi manfaat kepada pengeluar minyak sawit huluan, kerana permintaan import yang lebih kukuh dari India mungkin memberi sokongan kepada harga MSM,” jelasnya.
Menurut CIMB Securities bahagian minyak sawit dalam import minyak makan India susut kepada 42 peratus antara November 2024 dan April 2025, daripada 60 peratus bagi tempoh sama tahun sebelumnya.
Sebahagian besarnya disebabkan oleh premium yang tinggi berbanding minyak makan lain seperti minyak kacang soya dan minyak bunga matahari, tambahnya.
“Daripada minyak sawit yang diimport, 27 peratus adalah dalam bentuk olein sawit bertapis, diluntur dan nyahbau (RBD) manakala 73 peratus pula sebagai MSM, dengan semakan dasar terkini itu berkemungkinan menggalakkan import MSM,” jelasnya.
CIMB Securities menambah syarikat perladangan Malaysia dengan pendedahan huluan berada pada kedudukan yang baik untuk mendapat manfaat daripada perubahan dasar itu.