KUALA LUMPUR: Usaha Kementerian Komunikasi mengangkat artis veteran dengan memberikan keutamaan kepada mereka membuat persembahan dalam majlis dan program kementerian sememangnya ditunggu-tunggu golongan tersebut.
Menyambut baik pendekatan Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil itu, rata-rata artis veteran berpendapat langkah tersebut bukan sahaja membantu meringankan beban kewangan artis malah secara tidak langsung menghidupkan kembali karier mereka dalam industri hiburan tanah air.
Pengerusi Yayasan Kebajikan Artis Tanahair (YKAT) Datuk DJ Dave berkata pihaknya mengalu-alukan inisiatif berkenaan yang dilihat prihatin terhadap nasib artis veteran.
“Syukur Alhamdulillah, langkah ini tepat, kita memang nantikannya, dapatlah artis veteran sara hidup mereka dan mencari pendapatan.
“Kesian sesetengah artis lama tidak mempunyai persembahan, dengan adanya pendekatan ini sedikit sebanyak akan membantu mereka dan karier mereka juga tidak mati,“ katanya ketika dihubungi Bernama.
Penyanyi popular tahun 70-an itu berkata sejak 12 tahun penubuhan YKAT, yayasan itu telah membantu 1,900 artis termasuk artis veteran dari seluruh negara.
“Setakat ini, YKAT telah memberikan pencen kepada lapan artis yang menghidap pelbagai penyakit dan kita berharap kerajaan juga dapat membantu menambah dana yayasan agar lebih ramai anak seni khususnya golongan veteran dapat disantuni,” katanya.
Presiden Seniman Zed Zaidi yang turut menyambut baik usaha Kementerian Komunikasi itu mencadangkan kerajaan mewujudkan dasar menetapkan 30 peratus artis veteran di dalam setiap persembahan atau penggambaran.
“Dasar ini penting supaya ia menjadi polisi berterusan yang boleh dijadikan garis panduan tetap Kementerian Komunikasi dan semua agensi di bawahnya.
“Ini secara tidak langsung akan menjadi rujukan kepada kementerian lain apabila ingin menjemput artis tidak kira untuk persembahan mahupun penggambaran,” katanya.
Penyanyi Datin Salwa Abdul Rahman berkata usaha mengutamakan artis veteran bertepatan dengan situasi industri seni hari ini yang sering meminggirkan artis lama yang pernah mewarnai kehidupan masyarakat selama ini.
“Saya juga berharap agar Kementerian Komunikasi melakukan sesuatu bagi memastikan setiap program atau majlis anugerah di stesen-stesen televisyen khususnya memberi peluang kepada golongan seperti kami untuk turut serta. Ada yang masih aktif dan mahu terus mewarnai industri hiburan tanah air.
“Kami juga berharap kerajaan dapat melihat kepada syarikat-syarikat penerbitan filem atau televisyen yang menawarkan bayaran tidak setimpal pada artis veteran,“ katanya.
Terdahulu Fahmi ketika berucap pada majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2023 Kementerian Komunikasi (Zon Semenanjung) di Putrajaya hari ini memberi saranan supaya keutamaan diberikan kepada artis veteran untuk membuat persembahan dalam program di bawah kementerian berkenaan.