• 2025-07-21 10:05 PM

PETALING JAYA: Ismanira Abdul Manaf, ibu kepada Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin, hari ini menegaskan di Mahkamah Sesyen bahawa dia tidak pernah mengabaikan anak autistiknya seperti yang didakwa.

“Tidak, saya tidak abai Zayn khususnya pada 5 Dis 2023 sepertimana dalam pertuduhan,“ kata Ismanira, 30, semasa pemeriksaan utama oleh peguamnya, Haresh Mahadevan. Beliau menekankan bahawa dia sentiasa mengambil berat tentang keselamatan dan kebajikan anaknya.

Ketika melihat jasad Zayn Rayyan di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Sungai Buloh, Ismanira menyatakan bahawa anaknya mengalami luka pada tangan dan belakang kepala, hidung berdarah, serta mulut yang tidak tertutup rapat.

“Perut sudah kembung, dia sudah mula membusuk... kakinya kecut warna putih... mata lebam, itu yang saya nampak,“ katanya.

Ismanira juga berkata dia pada mulanya tidak percaya mayat yang ditemui di aliran sungai berhampiran Apartmen Idaman, Damansara Damai, adalah anaknya. “Saya dalam fasa penafian, masih tidak percaya,“ ujarnya.

Ketika ditanya sama ada dia bertanya kepada polis mengenai kejadian itu, Ismanira menjawab, “Polis menyatakan ada unsur jenayah... jika ikut kecederaan yang dialami anak saya, polis syak seorang pedofilia dan penagih dadah... itu seingat saya.”

Sebelum ini, Hakim Dr. Syahliza Warnoh memerintahkan Ismanira membela diri selepas pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie. Suaminya, Zaim Ikhwan Zahari, 30, dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan sama.

Pasangan itu didakwa mengabaikan Zayn Rayyan sehingga menyebabkan kecederaan fizikal di sekitar Apartmen Idaman antara 5 dan 6 Disember 2023. Pertuduhan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 membawa hukuman maksimum 20 tahun penjara atau denda RM50,000.

Menceritakan detik kehilangan Zayn Rayyan, Ismanira berkata dia berasa sangat cemas selepas mengambil anaknya dari sekolah. “Saya menjemput Zayn lewat lima minit kerana singgah beli barang untuk masak spaghetti bolognese, makanan kegemarannya,“ katanya.

“Saya parkir motosikal dan ingin bawa Zayn main di taman permainan, tapi semasa naik tangga, saya sedar bunyi tapak kasutnya tiada. Saya terus ke rumah, tapi Zayn tiada di situ,“ jelasnya.

Ismanira membiarkan pintu rumah terbuka, berharap anaknya akan pulang. “Saya panggil ‘abang’—nama panggilannya—tapi tiada jawapan,“ katanya dengan suara sebak.

Perbicaraan akan disambung esok. - Bernama