KUALA LUMPUR: Sebagai langkah pencegahan proaktif, Jabatan Alam Sekitar (JAS) meningkatkan rondaan dan pemantauan fizikal secara intensif di kawasan mudah terbakar, khususnya kawasan pertanian, tanah gambut, kawasan semak samun, kawasan ladang terbiar serta tapak pelupusan sampah yang dikenal pasti berisiko tinggi.
Ketua Pengarah Alam Sekitar Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaffar berkata pihaknya telah menjalankan aktiviti rondaan dan operasi penguatkuasaan bagi mencegah pembakaran terbuka yang menyumbang kepada jerebu, terutamanya dalam keadaan cuaca panas dan kering ketika ini.
“Bermula pada 8 Julai 2025, pewakilan kuasa kepada pelbagai agensi penguatkuasaan telah mula berkuat kuasa. Langkah ini merupakan inisiatif strategik bagi memperkukuh pelaksanaan tindakan penguatkuasaan di lapangan, terutamanya dalam menangani isu pembakaran terbuka yang menyumbang kepada situasi jerebu,“ katanya dalam kenyataan hari ini.
Setakat 21 Julai 2025, JAS telah melakukan 4,121 rondaan darat dan 640 rondaan dron. Bagi tindakan penguatkuasaan, JAS telah mengeluarkan 58 Notis Arahan, 27 tindakan mahkamah, dan mengenakan 59 kompaun terhadap pihak yang didapati melakukan kesalahan berkaitan pembakaran terbuka.
Wan Abdul Latiff turut menekankan kerjasama dengan agensi strategik seperti Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan agensi penguatkuasaan lain di peringkat negeri dan daerah.
“Orang ramai dinasihatkan agar tidak melakukan sebarang pembakaran terbuka, terutamanya bagi tujuan pertanian. Tindakan tegas akan dikenakan ke atas pelaku di bawah Seksyen 29A, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, termasuk denda hingga RM1 juta atau penjara lima tahun,“ tegasnya.
JAS juga menggesa industri seperti kuari dan kilang kelapa sawit memastikan sistem kawalan pencemaran udara berfungsi dengan baik. Orang awam boleh melaporkan sebarang pembakaran terbuka melalui talian bebas tol 1-800-88-2727 atau aplikasi MyJAS EQMS. - Bernama