SHAH ALAM: Jawatankuasa Tauliah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) belum menerima kenyataan bertulis daripada penceramah bebas Don Daniyal Don Biyajid atau lebih dikenali Ustaz Don berhubung fakta ceramah agama yang disampaikannya sebelum ini.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata pempengaruh itu setakat ini belum mengemuka jawapan bertulis kepada pihak Jawatankuasa Tauliah MAIS.

“Buat masa ini (Ustaz Don) belum lagi memberi jawapan bertulis. Tidak perlu berjumpa (antara Jawatankuasa Tauliah MAIS dan Ustaz Don).

“Jawatankuasa ini akan meneliti jawapan bertulis terlebih dahulu, kalau jawapan berkenaan sudah memadai untuk membuat keputusan, jadi tidak perlu berjumpa,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penganugerahan Tokoh Maal Hijrah Selangor 1446H/2024M di sini malam tadi.

Mohd Shahzihan sebelum ini dilaporkan berkata Don Daniyal diberikan tempoh 14 hari untuk memberikan kenyataan bertulis berhubung fakta ceramahnya sebelum ini.

Beliau berkata tindakan mengemukakan kenyataan bertulis itu selaras dengan Peraturan 17 (b), (d) dan (f) Peraturan-Peraturan Tauliah (Negeri Selangor) 2008 supaya penggantungan atau penarikan semula tauliah tidak dilaksanakan oleh jawatankuasa berkenaan terhadap Don Daniyal.

Pada 25 Jun lepas, Shahzihan dilaporkan berkata bahawa JAIS pada 21 Jun telah mengeluarkan arahan kepada semua agensi, masjid, surau dan musolla bagi menangguhkan atau tidak membuat apa-apa tindakan mengundang Don Daniyal untuk mengajar apa-apa perkara tentang agama Islam di premis masing-masing.

Menurut Shahzihan arahan itu dibuat berikutan beberapa isu mengenai pengajaran atau ceramah agama Islam yang disampaikan oleh Don Daniyal disyaki membawa kepada perlanggaran beberapa ketetapan di dalam Peraturan-Peraturan Tauliah (Negeri Selangor) 2008.

Open Two Websites with Image

Clickable Image