GEORGE TOWN: Seorang juruukur tanah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan cuba membunuh dengan melanggar dua orang anggota polis menggunakan kereta, minggu lepas.

Ammar Faris Zainulkifli, 31, didakwa melakukan perbuatan dengan niat cuba menyebabkan kematian Lans Koperal Mas Safiq Azizan Matzrol dan Koperal Mohd Norhasmi Ab Razak, yang sedang menjalankan tugas rondaan cegah jenayah, dengan cuba melanggar mereka menggunakan kereta jenis Honda Civic.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di belakang Gurney Plaza, Jalan Kelawai di sini, pada pukul 4.50 petang, 25 Okt lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda.

Timbalan Pendakwa Raya Lee Jun Keong mencadangkan jaminan RM12,000 dengan seorang penjamin, namun tertuduh yang tidak diwakili peguam, memohon jaminan minimum atas alasan cuma berpendapatan RM1,200 dan perlu menjaga ibu yang sakit tua.

Hakim Juraidah Abbas membenarkan ikat jamin sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 20 Nov sebagai sebutan semula kes.