• 2025-09-29 07:13 PM

SEPANG: Kapal misi Global Sumud Flotilla (GSF) akan memasuki zon kuning pada pukul 9.18 malam ini dan dijangka memasuki zon merah pada hari Khamis.

Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Centre (SNCC) Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim mengesahkan semua delegasi Malaysia yang menyertai GSF berada dalam keadaan sihat dan baik.

Beliau menambah bahawa enam rakyat Malaysia yang berada di kapal Johnny M yang mengalami kebocoran dan kerosakan teknikal telah dipindahkan ke kapal lain dengan selamat.

“Kita menjangkakan kalau tidak ada apa-apa aral, kita akan mula memasuki zon kuning pada 9.18 malam waktu Malaysia,” katanya dalam sidang media harian di SNCC MAPIM.

Sani Araby yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) berkata tiada laporan aktiviti dron dilaporkan semalam.

Beliau turut mengesahkan kapal Johnny M yang berfungsi sebagai bot pemerhati tidak dapat meneruskan pelayaran menjadikan 46 kapal yang masih meneruskan misi itu.

Sani Araby menafikan laporan kononnya terdapat kapal delegasi Malaysia yang terbakar dan memohon semua pihak tidak menyebarkan berita tidak benar.

“SNCC sekali lagi menegaskan agar semua pihak merujuk SNCC sebagai sumber yang sahih,” katanya.

Beliau berkata setakat ini tiada maklumat bahawa kapal tentera Itali dan Sepanyol yang mengiringi GSF akan berundur selepas memasuki zon kuning.

Sebanyak 34 rakyat Malaysia menyertai misi GSF yang kini berada di perairan antarabangsa berhampiran Greece.

Mereka merupakan sebahagian aktivis daripada 45 negara yang berlayar ke Gaza bagi memecahkan kepungan ke atas wilayah itu.

Flotila berkenaan sebelum ini berdepan pelbagai rintangan termasuk serangan dron.

Malaysia menjadi negara pertama yang mengiktiraf misi itu menerusi sokongan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pelayaran GSF merentasi Laut Mediterranean membawa bekalan makanan, ubat-ubatan serta mesej keamanan yang menggesa agar peperangan dan krisis kebuluran dihentikan.

Misi itu juga menuntut pembukaan akses koridor kemanusiaan ke Gaza. – Bernama