KOTA BHARU: Jabatan Kastam Kelantan merampas 1.94 juta batang rokok seludup yang dianggarkan bernilai RM1.54 juta termasuk cukai pada Julai lepas.

Pengarah berkenaan Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata rampasan itu dilakukan hasil risikan Pasukan Operasi Cawangan Penguatkuasaan Kota Bharu dan Rantau Panjang di dua lokasi berlainan iaitu di Kampung Chat, Palekbang di Tumpat dan di Kampung Badak, Bachok.

Beliau berkata barang rampasan itu melibatkan 94,050 karton rokok berjenama tidak sah untuk pasaran tempatan yang dijual pada harga sekitar RM7 sehingga RM8 sekotak dengan hasil jualan dipercayai mampu meraih pendapatan melebihi RM600,000.

“Serbuan pertama dilakukan oleh anggota operasi pada 5.45 pagi itu telah menahan sebuah lori di Kampung Chat, Tumpat dan merampas 99 peti mengandungi lebih sejuta batang rokok.

“Bagaimanapun, semasa serbuan dilakukan, pemandu lori yang berusia 40-an sempat melarikan diri ke kawasan semak berhampiran,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Wan Jamal berkata menerusi serbuan kedua pada 9.30 malam, pasukan operasi menahan sebuah lori dan merampas 90 peti mengandungi 90,000 batang rokok.

Beliau berkata modus operandi yang digunakan penyeludup rokok ini adalah dengan membawa masuk rokok-rokok itu menggunakan bot dari negara jiran melalui pesisir sungai dan memuatkan ke dalam lori untuk disimpan sebelum diedarkan.

“Siasatan masih diteruskan untuk mengesan kedua-dua pemilik kenderaan itu bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 135 (1) (e) Akta Kastam 1967,“ katanya.