• 2025-09-20 03:40 PM

BANGI: Kementerian Belia dan Sukan menyarankan Majlis Paralimpik Malaysia agar mencontohi pendekatan Jawatankuasa Road to Gold dalam pengurusan penajaan dan ganjaran kepada atlet bagi mengelakkan isu yang menimpa jaguh badminton para negara Cheah Liek Hou daripada berulang.

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata jawatankuasa tersebut telah mengambil langkah proaktif dengan memastikan semua ganjaran yang dijanjikan oleh penaja kepada atlet dilakukan dalam bentuk kontrak rasmi sebelum temasya sukan bermula.

Beliau menyatakan terdapat keperluan untuk MPM mengikut langkah sama dalam menguruskan janji ganjaran kepada atlet paralimpik.

Media sebelum ini melaporkan atlet berkenaan mendakwa MPM sebagai penipu menerusi media sosial kerana masih belum melunaskan insentif wang tunai 60,000 ringgit yang dijanjikan kepadanya selepas memenangi pingat emas Sukan Paralimpik 2024.

Keluhan Cheah turut mendapat perhatian Hannah yang tidak bersetuju dengan cara MPM sehingga mahu mengenakan tindakan tunjuk sebab terhadap atlet itu.

Beliau menegaskan isu membabitkan Cheah tidak sepatutnya dilayan seolah-olah atlet itu telah melakukan kesalahan disiplin sedangkan pemenang emas Sukan Paralimpik itu hanya menuntut apa yang dijanjikan.

Hannah berkata atlet seperti Cheah telah mengharumkan nama negara dan tidak sewajarnya dikenakan tindakan hanya kerana menyuarakan kekecewaan terhadap kelewatan atau kegagalan pemberian ganjaran yang dijanjikan.

Beliau menekankan bahawa perkara ini mudah sahaja untuk diselesaikan tanpa memerlukan orang tengah dan menyeru agar janji ditunaikan atau dijelaskan sebab kegagalan.

Hannah berkata KBS juga tidak akan menyokong sebarang usaha untuk menggantung atau mengenakan tindakan tatatertib ke atas atlet berkenaan dan tiba masanya untuk memperbaiki sistem tadbir urus sedia ada.

Presiden MPM Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin memaklumkan sedang mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap Cheah kerana kenyataan atlet itu di media sosial berhubung isu janji yang belum dilunaskan telah mencemar reputasi pihaknya serta penaja.

Megat D Shahriman berkata MPM tidak akan teragak-agak untuk mengenakan tindakan penggantungan terhadap atlet berkenaan daripada menyertai mana-mana temasya besar selepas ini. – Bernama