KUALA LUMPUR: Seorang suspek yang sebelum ini ditahan berhubung kes penemuan mayat remaja perempuan berusia 15 tahun, Yap Xin Yuan, di RTB Sungai Changgang, Kuala Langat pada 28 Dis lepas dibebaskan sebagai saksi pendakwaan.
Ketua Polis Daerah Kajang ACP Naazron Abdul Yusof berkata suspek berumur 51 tahun sebelum itu ditahan sejak 30 Dis bersama dua lagi suspek lain yang berusia 16 dan 20 tahun.
“Dua lagi suspek kes itu diberikan jaminan dengan diikat bon di bawah Seksyen 49 Kanun Prosedur Jenayah, iaitu kuasa mengambil bon supaya hadir di mahkamah. Kertas siasatan kes ini juga telah dirujuk ke Pejabat Pendakwa Raya Selangor semalam dan terdapat arahan lanjut untuk dilengkapkan.
“Kertas siasatan akan dirujuk semula setelah arahan yang berkaitan diambil tindakan. Segala tindakan melalui proses undang-undang sedang dijalankan dengan teliti untuk memastikan keadilan terjamin,“ katanya dalam kenyataan hari ini.
Media sebelum ini melaporkan tiga suspek kes berkenaan termasuk teman lelaki Yap direman kali pertama bermula 31 Dis hingga 5 Jan lepas seterusnya disambung hingga hari ini.
Polis menumpukan aspek perselisihan faham dan pengambilan dadah berlebihan dalam siasatan bagi mengenal pasti motif pembunuhan remaja perempuan berkenaan dengan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Yap sebelum itu dilaporkan hilang oleh ahli keluarganya selepas menghadiri latihan tarian singa di sebuah gelanggang bola keranjang di Batu 11, Cheras, pada 19 Dis.