• 2025-10-12 11:02 AM

KANGAR: Kementerian Sumber Manusia akan melaksanakan siri jelajah di seluruh negara bagi memberikan penerangan mengenai Rang Undang-Undang Pekerja Gig 2025.

Menteri Sumber Manusia Steven Sim berkata usaha ini bertujuan mendedahkan penggiat industri gig berkaitan dengan perlindungan dan hak di bawah rang undang-undang tersebut.

Beliau telah mengadakan perjumpaan dengan pekerja gig di Pulau Pinang dan Perlis serta bertemu dengan penggiat muzik dan perfileman serta pemandu e-hailing di Kuala Lumpur.

“Jadi, ia bukan setakat ikut negeri, tengok kesesuaian tempat, kesesuaian kumpulan yang hadir itu, tetapi kalau boleh saya nak bawa siri jelajah itu ke seluruh Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas Program Meet & Greet di Dataran Dato’ Sheikh Ahmad.

Sim menekankan bahawa mereka juga ingin mendengar pendapat pekerja gig mengenai rang undang-undang baharu ini untuk penambahbaikan pada masa akan datang.

RUU Pekerja Gig 2025 yang diluluskan Parlimen kini dalam proses mendapatkan perkenan Yang di-Pertuan Agong sebelum diwartakan.

Program malam tadi termasuk dalam siri jelajah tersebut dengan banyak soalan daripada pekerja gig mengenai hak dan manfaat mereka di bawah PERKESO.

Penghantar makanan Hasina Abdul Hamid, 51, memuji usaha kerajaan menerusi KESUMA yang menganjurkan program sedemikian.

“Program seperti ini perlu dibuat lebih kerap, dan menteri pun tenang sahaja memberikan penjelasan dan menjawab persoalan berbangkit,” katanya.

Seorang lagi penghantar makanan, Suhaimi Harun, 58, berkata dia kini semakin jelas dengan manfaat PERKESO untuk pekerja gig.

“Dengan adanya RUU Pekerja Gig ini, ia akan memperkasakan dan mengiktiraf peranan pekerja gig yang turut memberikan sumbangan kepada negara ini,” katanya. – Bernama