KLUANG: Kementerian Kerja Raya (KKR) akan menyegerakan beberapa keperluan di daerah ini seperti membaik pulih, membesarkan dan melebarkan jalan serta membaiki dan memasang lampu jalan termasuk lampu solar di lokasi tertentu bagi memberikan keselesaan kepada rakyat.

Timbalan Menterinya Datuk Seri Ahmad Maslan berkata keperluan berkenaan telah dibincangkan di peringkat kementeriannya dan yakin telah dimaklumkan ke pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Johor untuk tindakan lanjut.

“Semua senarai keperluan berkenaan telah diangkat untuk perhatian dan akan diselesaikan dalam masa terdekat...yang mana kita boleh selesaikan secara terus oleh JKR kita akan selesaikannya segera.

“Kerja baik pulih atau naik taraf keperluan ini mempunyai dua proses iaitu secara terus oleh KKR dan JKR, satu lagi kaedah yang tidak secara terus dengan membabitkan pihak (kemeterian) lain,” katanya kepada pemberita selepas program Ziarah Kasih dan Ziarah Mesra di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Masjid Lama, di sini hari ini.

Ahmad berkata antara contoh kerja secara tidak terus adalah pembinaan semula bangunan daif seperti di dua sekolahdi daerah ini iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Tunku Mahmood 1 dan SK Kampung Melayu.

Beliau berkata kedua-dua projek itu melibatkan kementerian lain tetapi KKR dan JKR Daerah Kluang dilantik sebagai pegawai penguasa yang berperanan melaksanakannya serta melakukan pemantauan secara teliti.

“Kedua-dua projek pembinaan semula bangunan daif ini melibatkan perbelanjaan RM2.09 juta (SK Tunku Mahmood 1) dan RM2.28 juta (SK Kampung Melayu).

“Saya yakin demi memberikan keselesaan kepada rakyat, bukan sahaja KKR yang berusaha melaksanakan projek pembinaan tetapi kementerian lain juga sedang mengusahakannya seperti masalah banjir,” katanya.

Sementara itu, mengenai program Ziarah Kasih dan Ziarah Mesra beliau memaklumkan pihaknya telah melawat ke semua 18 PDM yang terdapat dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.