• 2025-10-17 08:49 PM

MELAKA: Klebang dilihat berpotensi untuk menjadi pemangkin utama pembangunan ekonomi Melaka menerusi pelaksanaan pelbagai projek strategik yang dirancang kerajaan negeri.

Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata kawasan pesisir pantai itu kini dikenal pasti sebagai zon tumpuan ekonomi baharu yang akan membangunkan sektor pelabuhan, pelancongan, perindustrian serta perumahan moden menerusi konsep Ekonomi Biru.

Pembangunan bersepadu di kawasan itu akan menjadikan Klebang antara penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi negeri serta memberi limpahan manfaat kepada penduduk setempat.

Apabila keseluruhan projek pembangunan di kawasan Klebang siap kelak, ia berpotensi menjadi pusat pertumbuhan baharu yang akan melonjakkan ekonomi Melaka ke tahap lebih tinggi.

Projek tersebut sekali gus akan menjadikan Klebang antara nadi utama pembangunan negeri.

Usaha memperkukuh pembangunan kawasan itu turut disokong pelaksanaan lebih 100 program komuniti di bawah inisiatif program Wakil Rakyat Untuk Rakyat bagi mendekati masyarakat dan meneliti permasalahan mereka.

Melalui program ini, kerajaan telah melaksanakan 106 program yang memberi tumpuan kepada kebajikan, pendidikan, infrastruktur serta kesejahteraan rakyat.

Segala isu dan aduan yang disuarakan oleh penduduk akan disemak dan diteliti bagi mencari penyelesaian yang cepat dan berkesan mengikut kemampuan kerajaan negeri.

Masalah yang boleh diselesaikan segera akan dilaksanakan dalam tempoh dua minggu manakala bagi isu yang lebih kompleks, kerajaan negeri akan mengambil tindakan lanjut untuk meneliti dan mengkaji langkah penyelesaian terbaik.

Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah menyalurkan peruntukan RM9.4 juta bagi pembinaan jambatan baharu Stulang Daeng-Pulau Gadong di sini bagi menggantikan jambatan lama yang runtuh pada September 2023.

Projek pembinaan jambatan baharu sepanjang 70 meter itu turut merangkumi pembinaan jalan baharu sejauh 400 meter bagi meningkatkan keselesaan dan keselamatan pengguna.

Pembinaan bermula selepas penyerahan tapak pada 3 Oktober lepas dan dijangka siap sepenuhnya pada 30 September 2027.

Kerajaan negeri turut memberikan tumpuan kepada pembangunan infrastruktur rakyat termasuk pembinaan semula Pasar Baharu Batang Tiga yang akan dikenali sebagai Pasar Wilayah Klebang yang bertaraf moden dan lebih selesa.

Projek tersebut dijangka menyediakan kemudahan tempat letak kereta yang luas serta ruang niaga yang kondusif.

Ini seiring usaha meningkatkan taraf ekonomi peniaga tempatan dan memperkukuh jaringan perniagaan komuniti. – Bernama