MELAKA: Dua klinik statik dengan 16 kakitangan perubatan akan ditempatkan di lokasi utama penganjuran Hari Pelancongan Dunia (WTD) dan Persidangan Pelancongan Dunia (WTC) 2025.
Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem berkata satu pasukan perubatan melibatkan enam kakitangan ditempatkan di sebuah hotel di Melaka Raya.
Klinik berkenaan akan beroperasi 24 jam sepanjang program berlangsung.
Dua pasukan perubatan melibatkan 10 anggota akan ditempatkan di sebuah lagi klinik yang dibuka di Encore Melaka.
Pembukaan klinik statik dan penempatan kakitangan perubatan di dua lokasi berkenaan bertujuan memastikan perkhidmatan perubatan dapat diberikan dengan cepat sekiranya diperlukan.
Lima pasukan ambulans termasuk yang bertugas secara lawatan di lokasi terlibat juga akan digerakkan sepanjang penganjuran WTD dan WTC 2025.
Sebanyak 159 delegasi antarabangsa khususnya menteri pelancongan dari seluruh dunia dan anggota Pertubuhan Pelancongan Dunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dijangka menyertai acara berprestij itu. – Bernama