IPOH: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak merampas minyak masak bernilai RM96,663 yang disyaki disimpan melebihi had kuantiti dibenarkan di sebuah syarikat pemborong di Langkap, Teluk Intan, semalam.

Pengarahnya Datuk Kamalludin Ismail berkata sepasukan pegawai dan anggota penguat kuasa KPDN Cawangan Teluk Intan melakukan serbuan ke atas premis berkenaan kira-kira 11 pagi.

“Hasil pemeriksaan mendapati kuantiti semasa minyak masak melalui pengisytiharan stok di bawah Seksyen 8 (1) Akta Kawalan Bekalan 1961 dan melalui rekod belian serta rekod jualan minyak masak dianggarkan berjumlah 23,015 kilogram (kg) melebihi had simpanan yang ditetapkan di dalam lesen iaitu hanya 10,000 kg.

“Berikutan penemuan tersebut pemilik perniagaan memperakui pengisytiharan stok tersebut dan menyimpan minyak masak melebihi had kuantiti yang dibenarkan,“ katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kamalludin berkata kesemua minyak masak yang dirampas telah disita untuk tindakan selanjutnya dan kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.