JOHOR BAHRU: Kementerian Pendidikan Tinggi akan mengambil langkah proaktif termasuk membawa pulang pelajar Malaysia sekiranya rusuhan di beberapa wilayah di Indonesia semakin meruncing.
Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata pihaknya menerusi pejabat Education Malaysia di negara itu sentiasa bekerjasama dengan Kementerian Luar bagi memantau keadaan semasa.
Beliau berkata ketika ini terdapat sebanyak 1,200 pelajar Malaysia yang melanjutkan pelajaran di negara jiran berkenaan.
“Sudah tentu kalau keadaan meruncing, maka menjadi kewajipan kita untuk mengambil langkah-langkah proaktif termasuk membawa pulang.”
“Malah, ketika ini pun sebenarnya kita membuat pemantauan dan bekerjasama dengan Kementerian Luar,“ katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Digital Innovation Creativepreneur 3.0 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor.
Turut hadir Ketua Setiausaha KPT Datuk Dr Anesee Ibrahim dan Naib Canselor Universiti Sultan Zainal Abidin Prof Datuk Dr Fadzli Adam. – Bernama