PUTRAJAYA: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menyasarkan pindaan Akta Orang Kurang Upaya (OKU) 2008 dan Laporan Negara untuk Jawatankuasa Konvensyen Bagi Hak Orang Kurang Upaya eng: Convention on the Rights of Persons With Disabilities) (CRPD) dapat diselesaikan pada tahun depan.

Ketua Setiausaha KPWKM Datuk Dr Maziah Che Yusof berkata KPWKM sedang meneliti cadangan pihak berkepentingan berhubung pindaan Akta OKU 2008 sebelum dibawa bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat manakala Laporan Negara CRPD pula akan dikemukakan kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

“Kementerian menyedari keperluan untuk meminda akta ini sesuai dengan peredaran zaman dan perubahan keperluan yang dibawa pelbagai faktor,“ katanya dalam ucapan perasmian Sambutan Hari OKU Peringkat Kebangsaan 2022 bertemakan ‘Transformasi ke Arah Pembangunan Inklusif: Peranan Inovasi Dalam Memenuhi Aksesibiliti dan Kesaksamaan OKU’ di sini hari ini.

Teks ucapan Maziah dibacakan Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik) KPWKM Chua Choon Hwa.

Turut hadir Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat Datuk Shaharuddin Abu Sohot dan Presiden OKU Sentral Senator Datuk Ras Adiba Radzi.

Maziah berkata KPWKM kekal komited membela hak OKU sedia ada dan bersedia menerima pandangan atau cadangan bagi tujuan meningkatkan kesejahteraan golongan OKU.

Beliau berkata Majlis Kebangsaan Bagi Orang Kurang Upaya (MKBOKU) yang diurusetiakan KPWKM akan kekal meneruskan fungsi seperti menyelia pelaksanaan dasar dan pelan tindakan negara yang berhubungan dengan OKU, membuat syor kepada kerajaan mengenai semua aspek OKU serta lain-lain fungsi disenaraikan di bawah Akta OKU 2008.

Menurutnya KPWKM juga sedang menyelaras laporan pencapaian 20 agensi peneraju dalam Pelan Tindakan OKU 2016-2022 untuk dibentangkan dalam mesyuarat MKBOKU pada awal tahun depan.

“Menerusi pelbagai sesi rundingan dan libat urus yang melibatkan semua agensi peneraju, adalah menjadi hasrat semua pihak agar maklumat dan input yang diperoleh dapat dimanfaatkan untuk perancangan dan pelaksanaan program dan inisiatif baharu yang lebih berkesan khusus untuk membangunkan dan memperkasakan OKU di Malaysia,“ katanya.

Pada majlis itu, Chua turut menyampaikan anugerah termasuk Anugerah Khas OKU (Sukan) kepada atlet powerlifting Bonnie Bunyau Gustin, Anugerah Khas OKU (Aktivis) kepada Pengarah Eksekutif Majlis Kebangsaan bagi Orang Buta Malaysia Wong Yoon Loong, Anugerah Ibu Bapa Mithali OKU kepada Aznah Mohd Jani serta Anugerah Majikan Prihatin (Swasta) kepada syarikat antaranya Flextronics Technology (Penang) Sdn Bhd, TCRS Restaurants Sdn Bhd dan Koperasi Warga USM Kelantan Bhd.

Sementara itu, Wong, 56, berkata Anugerah Khas OKU (Aktivis) yang diterimanya merupakan satu pengiktirafan kepada usahanya dan pasukan untuk memperkasakan golongan OKU penglihatan.

“Saya rasa gembira kerana kita boleh tengok pendidikan untuk OKU penglihatan dah semakin baik, kemudahan disediakan semakin meningkat, peluang untuk mereka masuk ke pusat pengajian tinggi pun semakin meningkat dan yang paling penting kesedaran masyarakat di Malaysia berkenaan golongan OKU juga bertambah baik,“ katanya. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image