KUALA LUMPUR: Awal pagi ini, negara dikejutkan dengan kemalangan maut melibatkan sebuah bas membawa 42 mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang dalam perjalanan dari Jertih, Terengganu ke Tanjung Malim, Perak awal pagi ini.

Nahas tragis melibatkan kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding di Gerik itu meragut 15 nyawa penuntut universiti itu.

Berikut adalah kronologi kemalangan berkenaan:

1.10 pagi -- Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Angkatan Pertahanan Awam (APM) Hulu Perak menerima panggilan kecemasan daripada Hospital Gerik berhubung insiden berkenaan.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak mengesahkan sebuah bas terbalik dan sebuah MPV terbabas ke dalam parit dalam nahas itu.

Keseluruhannya 48 mangsa terlibat, termasuk 13 orang meninggal dunia di lokasi kejadian dan dua orang di hospital.

Penumpang bas merupakan mahasiswa UPSI yang dalam perjalanan dari Terengganu, pulang ke kampus di Tanjong Malim selepas cuti Hari Raya Aidiladha.

9.32 pagi -- UPSI mengesahkan 42 penuntut universiti itu terlibat dalam kemalangan di JRTB Banun, Gerik, awal pagi Isnin.

11.21 pagi -- Tiga belas jenazah mangsa dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh, untuk bedah siasat.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abdul Kadir turut mengesahkan 15 pelajar UPSI meninggal dunia dalam kemalangan itu.

12.04 tengah hari -- Ketua Polis Perak Datuk Noor Hisam Nordin memaklumkan bas berkenaan membawa 42 pelajar berusia antara 21 hingga 23 tahun, kesemuanya dari Pantai Timur.

Pemandu bas yang berusia 40 tahun dan pembantunya berusia 54 tahun disahkan cedera dalam kemalangan itu.

Turut cedera, pemandu dan penumpang MPV teribat iaitu sepasang suami isteri berusia berusia 37 dan 36 tahun serta dua anak mereka, seorang perempuan dan seorang lelaki yang berusia enam dan tiga tahun.

Sebanyak 27 pelajar UPSI iaitu 23 perempuan dan empat lelaki mengalami kecederaan manakala 13 jenazah dihantar ke HRPB dan dua jenazah lagi di Hospital Gerik.

Proses bedah siasat masih berjalan.

2.25 petang -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) memaklumkan akan menubuhkan pasukan petugas khas untuk menyiasat kemalangan berkenaan.

5.30 petang -- Identiti enam daripada 15 pelajar UPSI yang maut telah dikenal pasti.

UPSI memaklumkan mereka ialah Sufea Adela Maslihaizan, 21, Mohammad Aqil Taqiudin, 21, Anis Soffiyya Md Zaidi, 20, Nur Ainul Qistina Mat Ali, 21, Muhammad Adib Hazim Halim, 21, dan Wan Nur Suhaila Wan Mohammad, 22.

Turut meninggal dunia Fakhrul Arif Rosdi, 20, Nurul Fatihah Abu Setaman, 22, Nur Dalila Farhana Mohamad Isma, 21, Nurul Izyanti Muhamad Azahar, 21, Nur Amni Nadiah Nik Nor Zabir, 21, Muhammad Mustaqim Rosde, 21, Nor Ayuni Maslan, 21, Nurly Sahirah Azman, 23, dan Fatin Nasrien Fadli, 22.

6.51 petang -- Bedah siasat 13 jenazah pelajar UPSI di HRPB selesai.

8.55 malam -- Konvoi van jenazah pelajar UPSI yang terkorban mula meninggalkan Jabatan Forensik HRPB menuju ke Jertih, Terengganu.