SANDAKAN: Inisiatif Menu Rahmah yang diperkenalkan pada 2023 masih diteruskan dengan lebih 3,000 premis di seluruh negara menawarkan menu berkenaan.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Dr Fuziah Salleh berkata pasar raya Mydin di Sandakan masih menawarkan Menu Rahmah dengan harga RM4.90 setiap hari.
“Menunya juga berbeza, hari Isnin lain, Sabtu lain, sehingga hari Ahad,“ katanya selepas melawat pasar raya Mydin di sini hari ini.
Fuziah berkata menu tersebut menawarkan makanan seimbang yang mengandungi protein, karbohidrat dan sayur-sayuran.
“Alhamdulillah lebih dua tahun masih diteruskan kerana hasrat mereka yang menawarkan Menu Rahmah ini ialah untuk berkongsi rezeki dan membantu orang-orang yang memerlukan,“ katanya.
Beliau mengucapkan terima kasih kepada rakan strategi seperti Mydin yang terus menawarkan Menu Rahmah.
KPDN sentiasa cuba membantu pengusaha Menu Rahmah yang berdaftar dengan menawarkan kad diskaun khas.
“Kad diskaun khas Menu Rahmah itu membolehkan mereka membeli dengan harga istimewa dan kad diskaun ini juga boleh digunakan pada Jualan Rahmah,“ jelas Fuziah.
Dengan kad diskaun tersebut, pengguna boleh membeli lebih daripada had pembelian biasa yang ditetapkan untuk Jualan Rahmah.
Fuziah menekankan bahawa pengusaha makanan yang berminat menawarkan Menu Rahmah perlu mendaftar dengan KPDN.
Lawatan kerja beliau ke Sandakan juga melibatkan tinjauan barangan keperluan bagi memastikan bekalan mencukupi menjelang Pilihan Raya Negeri Sabah Ke-17.
“Kami mahu memastikan supaya tidak ada aduan yang mengatakan tiada gula, minyak dan sebagainya,“ katanya.
Hasil tinjauan mendapati bekalan termasuk gula dan minyak adalah mencukupi di pasaran. – Bernama