LUMUT: Seorang lelaki warga emas berusia 73 tahun maut selepas dipercayai terlibat dalam pergaduhan dengan rakannya di sebuah rumah di Sungai Pinang Kecil, Pulau Pangkor.
Ketua Polis Daerah Manjung ACP Hasbullah Abd Rahman berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada pukul 2 petang semalam.
“Hasil siasatan mendapati mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia pada 1.45 petang oleh pegawai perubatan Klinik Kesihatan Pangkor,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk bedah siasat manakala motif kejadian masih dalam siasatan.
Polis menahan seorang lelaki warga emas berusia 73 tahun dipercayai suspek utama kes itu di hadapan sebuah kedai makan di Sungai Pinang Kecil pada 2.30 petang hari sama.
Mahkamah Majistret Seri Manjung membenarkan reman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan lanjut.
“Orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kes ini boleh menghubungi Pegawai Penyiasat ASP Sukjit Singh di talian 019-550 5536,” katanya. – Bernama