PUTRAJAYA: Sebanyak 49,992 kes Hepatitis B dilaporkan bagi tempoh 10 tahun dari 2013 hingga 2023, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan.

Bagi kes Hepatitis C, beliau berkata jumlah keseluruhan adalah sebanyak 34,573 kes bagi tempoh sama.

“Hepatitis B boleh dicegah melalui imunisasi iaitu dos pertama diberikan semasa kelahiran, dos seterusnya pula diberikan kepada bayi menggunakan vaksin kombinasi enam serangkai (enam dalam satu) pada umur dua, tiga, lima dan 18 bulan, manakala untuk Hepatitis C pula, rawatan khusus kini boleh diberikan untuk menyembuhkan jangkitan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan sempena Hari Hepatitis Sedunia yang disambut setiap 28 Julai, dengan tema tahun ini ‘Sudah tiba masanya untuk bertindak’ atau It’s time for action, yang menekankan keperluan berkolaborasi dalam penyampaian perkhidmatan imunisasi, saringan, rawatan serta menggiatkan aktiviti advokasi antara kerajaan, swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Hepatitis merupakan penyakit keradangan hati yang lazimnya disebabkan oleh jangkitan virus (viral hepatitis) iaitu Virus Hepatitis A, B, C, D atau E.

Virus Hepatitis A dan E biasanya berjangkit melalui pengambilan makanan atau air tercemar dan tidak membawa kepada penyakit kronik manakala virus Hepatitis B, C dan D berjangkit melalui darah atau cecair badan serta boleh membawa kepada penyakit kronik yang merupakan punca utama kepada sirosis atau parut hati (liver cirrhosis) dan kanser hati.

Berdasarkan Laporan Hepatitis Global 2024, Dr Muhammad Radzi berkata pada 2022 dianggarkan terdapat 2.2 juta kes jangkitan baharu viral hepatitis di dunia, dengan 1.1 juta merupakan jangkitan Hepatitis B, 1.0 juta adalah Hepatitis C dan 100,000 kes adalah jangkitan bagi lain-lain jenis hepatitis.

“Jumlah kematian dilaporkan pula adalah sebanyak 1.3 juta kes dengan 83 peratus kematian disebabkan oleh jangkitan Hepatitis B dan baki 17 peratus kematian adalah disebabkan oleh jangkitan Hepatitis C,” katanya.

Justeru, beliau berkata Kementerian Kesihatan (KKM) menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mengamalkan hidup sihat dan amalan kebersihan diri untuk mengelakkan risiko mendapat jangkitan hepatitis atau risiko untuk menjangkiti orang lain bagi individu yang telah dijangkiti.

Orang ramai terutamanya golongan berisiko dinasihatkan menjalani ujian saringan hepatitis seterusnya mendapatkan nasihat dan rawatan di fasiliti kesihatan kerana ia dapat mengelakkan komplikasi jangkitan seperti penyakit hati yang teruk dan kanser hati dan seterusnya kematian.

“Sekiranya tercicir imunisasi (Hepatitis B), ibu bapa perlu mendapatkan nasihat di klinik kesihatan yang berhampiran untuk penjadualan semula imunisasi bagi anak mereka,” katanya.

Maklumat lanjut mengenai viral hepatitis dan vaksin hepatitis boleh diperoleh daripada laman sesawang MyHealth dan Infosihat.