KUALA LUMPUR: Delegasi pegawai kanan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang diketuai Naib Presidennya, Nurul Izzah Anwar pada Selasa, mengadakan pertemuan dengan Menteri Jabatan Antarabangsa Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China (IDCPC), Liu Jianchao, di Beijing.

Menurut artikel yang disiarkan di laman web Jawatankuasa Pusat CPC (idcpc.org.cn), Nurul Izzah berkata dalam pertemuan itu bahawa Malaysia sangat mementingkan hubungannya dengan China dan pencapaian luar biasa China dalam pembangunan ekonomi dan sosial amat mengagumkan.

Beliau berkata berbanding CPC, PKR adalah parti politik muda dan beliau berharap dapat mengetahui lebih lanjut mengenai China dan CPC melalui lawatan itu, termasuk belajar daripada pengalaman China dalam pembasmian kemiskinan.

“Malaysia menghargai tradisi kemerdekaan dan masyarakat majmuk. Pada masa ini, keamanan dan pembangunan dunia, termasuk kestabilan rantaian bekalan, menghadapi banyak cabaran dan pihak Malaysia bersedia bekerjasama dengan pihak China untuk bersama-sama menggalakkan keamanan, kestabilan dan kemakmuran di rantau ini,“ katanya.

Menyedari bahawa ia merupakan lawatan pertama beliau ke luar negara sejak menjadi Naib Presiden PKR, beliau berkata tahun ini menandakan ulang tahun ke-50 penubuhan hubungan diplomatik antara Malaysia dan China.

“Bukan kebetulan bahawa delegasi kami terdiri daripada 50 ahli,“ katanya.

Sementara itu, Liu berkata di bawah bimbingan bersama Presiden Xi Jinping dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, hubungan China-Malaysia telah menikmati pembangunan yang kukuh.

Beliau berkata China bersedia bekerjasama dengan Malaysia untuk melaksanakan konsensus yang dicapai oleh pemimpin mereka, meningkatkan kepercayaan strategik bersama, menghormati kepentingan teras dan kebimbangan utama masing-masing dan mengukuhkan asas politik bagi komuniti China-Malaysia dengan masa depan bersama.

“Pada masa ini, perubahan penting semakin pesat di seluruh dunia dan rantau Asia Pasifik secara keseluruhannya telah mengekalkan keamanan dan kestabilan. Ini tidak datang dengan mudah.

“Pihak China bersedia untuk bekerjasama dengan negara ASEAN bagi menggalakkan pembangunan bersama di rantau ini dan membawa lebih banyak manfaat kepada rakyat,“ katanya semasa pertemuan itu.

Beliau berkata CPC menghargai hubungannya dengan PKR dan bertujuan meningkatkan pertukaran peringkat tinggi, komunikasi strategik dan kerjasama melalui platform “parti politik +” untuk mengukuhkan hubungan dua hala.

“Diharapkan generasi muda kedua-dua parti akan mengukuhkan komunikasi dan menyumbang kepada pembangunan jangka panjang, kukuh dan stabil hubungan antara kedua-dua parti dan kedua-dua negara,“ katanya sambil menyatakan bahawa belia mewakili masa depan.