• 2025-09-22 09:38 PM

KUALA LUMPUR: Meta memberi jaminan akan mempertingkatkan usaha dan kerjasama bagi memastikan kandungan yang menyalahi undang-undang dapat ditangani dengan lebih efektif.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata perkara itu susulan pertemuan dengan pihak Meta di pejabat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), yang turut dihadiri Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Mesyuarat berkenaan juga dihadiri wakil Pejabat Peguam Negara, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Kewangan, Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) serta Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA).

“Setakat 19 Sept lepas, sejumlah 168,774 permohonan penurunan kandungan dikemukakan kepada Meta bagi platform Facebook sahaja, iaitu 59 peratus daripada keseluruhan permohonan penurunan kandungan di media sosial.

“Daripada jumlah itu, 120,127 permohonan berkaitan judi dalam talian namun hanya 114,665 kandungan diturunkan. Bagi aktiviti penipuan pula, daripada 37,722 permohonan penurunan yang dibuat, 36,918 diturunkan, manakala baki kandungan masih kekal di platform tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Fahmi berkata berdasarkan statistik Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) PDRM, kes penipuan e-dagang di tiga platform Meta iaitu Facebook, Instagram dan WhatsApp bagi tempoh 2023 hingga Ogos tahun ini mencatat jumlah kerugian terkumpul lebih RM248 juta, melibatkan 18,128 kes.

“Jumlah tersebut menunjukkan Meta masih gagal memberikan kerjasama sepenuhnya dalam membanteras aktiviti jenayah siber. Hal ini memberi kesan kepada usaha pihak berkuasa untuk melindungi rakyat daripada ancaman jenayah dalam talian yang semakin meningkat,” katanya.

Bagaimanapun, Meta telah memberikan jaminan bahawa mereka akan mempertingkatkan usaha dan kerjasama bagi memastikan kandungan yang menyalahi undang-undang dapat ditangani dengan lebih efektif.

Beliau berkata Meta dan platform media sosial lain telah diminta memperkenalkan mekanisme pengesahan umur dan identiti yang lebih berkesan, termasuk penggunaan MyKad dan MyDigital ID bagi menghalang kanak-kanak bawah umur daripada membuka akaun media sosial.

“Kerajaan MADANI tidak akan sama sekali berkompromi dalam isu keselamatan digital. Meta dan semua penyedia platform media sosial wajib mengambil tanggungjawab yang lebih besar bagi memastikan kandungan yang melanggar undang-undang negara segera diturunkan.

“Kementerian Komunikasi dengan kerjasama agensi-agensi penguatkuasaan akan memperkukuh langkah pemantauan, serta mempertimbangkan tindakan lanjut sekiranya tahap kerjasama tidak dipertingkatkan oleh Meta - Bernama