MELAKA: Dua beradik yang terselamat dalam kemalangan ngeri membabitkan lima kenderaan di Kilometer 204 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara Isnin lepas, telah dibenarkan keluar dari hospital di sini hari ini.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem berkata Muhammad Uwais Al-Qarni Khairul Ikhwan, 7, dan Nur Sofea Humaira, 4, akan menerima rawatan susulan oleh pakar ortopedik dan psikiatri di Hospital Serdang.

“Kedua-dua beradik itu akan diiringi ahli keluarga untuk pulang ke kediaman mereka di Bangi, dengan menaiki ambulans lewat petang ini,” katanya ketika dihubungi media, di sini hari ini.

Rabu lepas, dua beradik itu masing-masing menjalani pembedahan pada bahagian paha kanan dan kiri yang cedera.

Sementara itu Ngwe berkata Muhammad Uwais dan Nur Sofea jelas tidak dapat menahan perasaan sedih semasa menerima berita mengenai kematian kedua-dua ibu bapa dan adik bongsu mereka dalam nahas berkenaan.

Beliau berkata kedua-dua mereka menangis selepas dimaklumkan mengenai perkara itu oleh ahli keluarga mereka, dengan bantuan pakar psikiatri Hospital Melaka.

Sementara itu Ngwe berkata pemandu treler Mohamad Shafiq Mohd Zuki, 27, yang sebelum ini kritikal dan dipantau di Unit Rawatan Rapi (ICU), dilaporkan sudah sedar dan dijadualkan menjalani pembedahan di paha kanannya, pada minggu pertama Januari 2025.

Media sebelum ini melaporkan kedua-dua beradik itu adalah antara yang terselamat dalam kemalangan yang meragut nyawa lima ahli keluarganya, iaitu ibu bapa mereka Khairul Ikhwan Mazupi, 32, dan Fadzlenna Ramli, 32, serta adik bongsu mereka Muhammad Umar, 2, serta datuk dan nenek Ramli Ab Wahab, 66, dan Fauziah Jaafar, 69.

Dua lagi yang maut ialah pemandu bas persiaran Noorisnien Khamid, 56 dan penumpang warga Singapura Lamrah Asid Ali, 66.