KOTA BHARU: Pemilik syarikat bas yang terlibat dalam nahas mengakibatkan kematian 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Jalan Raya Timur-Barat berhampiran Tasik Banding di Perak menafikan dakwaan menggunakan khidmat pemandu lori sebagai pemandu gantian untuk membawa mangsa.
Pegawai Operasi Syarikat Kenari Utara Mohd Nazri Nawi berkata dakwaan itu tidak benar sama sekali memandangkan pihaknya sudah membuat penelitian dan tapisan sebelum mengambil pemandu gantian berikutan pemandu asal tidak dapat bekerja semalam kerana masih cuti.
“Saya tidak tahu dari mana timbulnya dakwaan mahupun sumber yang mengatakan bahawa syarikat ini mengambil pemandu lori sebagai ganti untuk pemandu gantian. Kita tidak pernah mengambil pemandu bas secara sembarangan tanpa membuat tapisan.
“Kita mengakui pemandu gantian itu diambil daripada syarikat bas lain namun dia mempunyai pengalaman membawa bas termasuk bagi perjalanan jauh... bukan pemandu lori seperti yang didakwa,” katanya kepada pemberita di Pejabat Operasi Noreen Group di Tunjong di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata kedua-dua pemandu yang menghantar pelajar UPSI semalam mempunyai rekod yang bersih selain bebas daripada sebarang bahan terlarang ketika menjalankan tugas.
Setakat ini, Mohd Nazri berkata mengikut maklumat yang diperoleh, pemandu pertama iaitu pemandu di bawah syarikat itu mengalami patah tangan namun pemandu gantian berada dalam keadaan kritikal.
“Saya tidak dapat pastikan ketika kejadian, pemandu pertama ataupun gantian yang memandu bas. Bagaimanapun, saya ada menerima panggilan daripada pemandu bas sekitar 1 pagi semalam yang memaklumkan bahawa mereka terlibat dalam kemalangan.
“Apabila tahu mengenai kejadian itu, saya terus bergegas ke lokasi namun tidak sempat menemui kedua-duanya kerana mereka sedang menerima rawatan,“ katanya.
Mohd Nazri berkata beliau dimaklumkan bahawa mereka akan dirujuk ke Hospital Taiping bagi rawatan lanjut.
Beliau juga berharap sebarang spekulasi berhubung perkara itu dihentikan dan kes tersebut diserahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan, dan pihaknya bersedia memberikan kerjasama penuh.