• 2025-09-17 10:21 PM

KOTA KINABALU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah menangguhkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang petugas Sabah Electricity yang dipercayai lemas dibawa arus banjir di Sungai Nuntunan, Apin-Apin, Keningau.

Pengarah JBPM Sabah Mohd Pisar Aziz berkata operasi SAR lelaki berusia 35 tahun itu akan disambung semula esok.

Beliau berkata operasi hari ini yang dimulakan pada pukul 9.30 pagi melibatkan pencarian sejauh 40 kilometer radius sekitar Sungai Pagalan melalui Sungai Kampung Banjar, Sungai Kampung Mempikit dan Sungai Kampung Rimbayan.

“Maklumat daripada orang awam pada 1.06 pagi terlihat kelibat mangsa di Sungai Kepayan, Keningau namun mangsa telah dibawa arus deras.

“Tidak lama selepas itu, mangsa sekali lagi kelihatan di Sungai Baginda pada 1.15 pagi tetapi usaha menyelamat sukar dilakukan akibat arus air terlalu deras.

“Sehingga kini mangsa masih belum dijumpai,” katanya menerusi kenyataan.

Dalam kejadian malam tadi, tiga petugas syarikat itu dibawa arus banjir ketika ke Kampung Nuntunan Apin-Apin, Keningau untuk menjalankan operasi pemulihan bekalan elektrik.

Dua daripada mereka berjaya menyelamatkan diri manakala seorang lagi dihanyutkan arus. – Bernama