KUALA LUMPUR: Barisan kepimpinan MIC yang memberi penghormatan terakhir kepada Datuk Seri G. Palanivel hari ini menyifatkan mendiang sebagai tokoh politik berpengaruh yang banyak menyumbang kepada parti dan pembangunan masyarakat India di Malaysia.
Presiden MIC Tan Sri S. A. Vigneswaran berkata pemergian Palanivel merupakan satu kehilangan besar bukan sahaja kepada parti malah kepada beliau secara peribadi kerana mendiang begitu berjasa dalam membimbingnya dalam arena politik tanah air.
“Beliau merupakan penasihat utama kepada mendiang Tun Samy Vellu (presiden MIC ketika itu) dan pada tahun 2004, beliau yang mencadangkan nama saya kepada Tun untuk bertanding di Selangor (Parlimen Kota Raja).
“Mendiang juga memainkan peranan penting membawa saya kembali aktif dalam politik dan membantu saya dilantik sebagai Senator pada 2014,” katanya kepada pemberita di kediaman Palanivel di sini.
Timbalan Presiden MIC yang juga Ahli Parlimen Tapah Datuk Seri M. Saravanan pula menyifatkan Palanivel sebagai pemimpin berjiwa akar umbi yang memulakan kerjaya politik sebagai Setiausaha Akhbar kepada Samy Vellu sebelum mendaki hierarki parti sehingga menjadi presiden pada 2010.
“Beliau banyak membawa pembaharuan dalam parti termasuk memperkenal pelbagai program kebajikan untuk golongan wanita India seperti Amanah Ikhtiar dan Surya Cooperative,” katanya.
Bagi bekas Presiden MIC merangkap bekas Menteri Kesihatan Tan Sri Dr S. Subramaniam, Palanivel sebagai Presiden kelapan MIC telah memegang pelbagai jawatan dalam parti dan kerajaan termasuk Timbalan Menteri dan Menteri penuh serta Ahli Parlimen Hulu Selangor dan Cameron Highlands.
“Antara pendirian tegas beliau ialah memastikan MIC menjadi parti yang berdiri sendiri, bebas daripada pengaruh luar dan diiktiraf sebagai entiti kuat dalam politik negara,” katanya.
Bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri merangkap bekas Timbalan Presiden MIC Datuk Seri S. K. Devamany pula menyifatkan pemergian Palanivel sebagai kehilangan besar buat negara.
“Selama lebih empat dekad, beliau menyumbang kepada kepimpinan dan kebajikan masyarakat. Ramai masyarakat India menerima manfaat daripada jasa beliau. Saya menyeru agar masyarakat khususnya generasi muda, menghargai jasa pemimpin terdahulu semasa mereka masih ada,” katanya.
Palanivel memainkan peranan penting dalam kepimpinan MIC bermula sebagai Bendahari Agung parti dari 1991 hingga 1994 sebelum dilantik sebagai Naib Presiden pada 1995, jawatan yang dipegang beliau selama 10 tahun.
Beliau kemudian meneruskan laluan kepimpinan sebagai Timbalan Presiden dari 2006 hingga 2010 dan dilantik menjadi Presiden MIC pada Disember 2010 seterusnya menerajui parti hingga tahun 2015.
Sepanjang tempoh tersebut, Palanivel dikenali sebagai tokoh yang gigih memperjuangkan hak dan pembangunan masyarakat India serta membawa pelbagai perubahan dalam struktur parti.
Palanivel, yang meninggal dunia pada 8 pagi semalam, akan disemadikan menerusi upacara pembakaran di Pertubuhan Perkuburan India Wilayah Persekutuan (Sentul Hindu Crematorium) Sentul di sini petang esok.