ALOR SETAR: Seorang pembantu tadbir sebuah kolej vokasional mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas sembilan pertuduhan menggunakan kedudukan untuk mendapatkan suapan berjumlah RM24,116, lima tahun lepas.
Mohd Saim Kasan, 55, turut mengaku tidak bersalah atas sembilan pertuduhan pilihan kerana memperdayakan Pengetua Kolej Vokasional Sungai Petani 2 bagi meluluskan pesanan sekolah yang dikemukakan tertuduh atas nama dua syarikat miliknya.
Pengakuan itu dibuat selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim N.Priscilla Hemamalini.
Bagi sembilan pertuduhan asal, tertuduh yang bertugas sebagai Pembantu Tadbir Gred N22 di kolej berkenaan didakwa menggunakan kedudukannya bagi mendapatkan suapan menerusi syarikat Narinas Enterprise dan Wes Mangan Maju Trading.
Pesanan sekolah itu melibatkan kerja penyelenggaraan perabot, bingkai tingkap dan pintu, pemasangan gril besi bengkel bakeri, pembekalan peralatan pejabat dan unit pentadbiran serta pembekalan sarung meja bengkel bakeri.
Kesalahan didakwa dilakukan di Kolej Vokasional Sungai Petani 2, Sungai Petani antara 17 Feb hingga 1 Nov 2020.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) dan Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali nilai suapan, jika sabit kesalahan.
Bagi sembilan pertuduhan pilihan, tertuduh didakwa secara curang telah memperdayakan pengetua kolej terbabit, Majmin Md Noor, untuk meluluskan pesanan bernilai RM24,116, yang dikemukakan menggunakan nama dua syarikat miliknya.
Pertuduhan mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah, Mohd Zulfadli Azharudin memohon mahkamah menetapkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan.
Bagaimanapun tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jumlah jaminan dikurangkan kerana perlu menyara tiga anak yang masih bersekolah serta ibunya yang merupakan orang kurang upaya.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 13 Okt ini sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen serta lantikan peguam - BERNAMA