KUALA LUMPUR: Warga pendidik Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang berpotensi, berpeluang menjalani latihan secara berfokus sama ada di dalam atau luar negara menerusi Skim Latihan Pemerkasaan Pendidik MARA yang diumumkan hari ini, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata skim yang dilancarkan sempena Hari Anugerah Pendidik MARA 2024 itu memberi fokus terhadap pemerkasaan pedagogi, penguasaan kandungan pengajaran dan kepimpinan instruksional.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata MARA telah memutuskan untuk menghantar tenaga pendidik berkenaan ke lima negara yang memiliki kepakaran dalam bidang pendidikan iaitu Finland, Jepun, Jerman, China dan Amerika Syarikat (AS).

“Kursus yang dikenal pasti memfokuskan kepada bidang pedagogi atau pengajaran inovatif, STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik), TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional) serta kepimpinan pendidikan.

“(Justeru) kami telah mengenal pasti beberapa tenaga pengajar yang akan dihantar (ke luar negara) itu. Di samping itu 19 pendidik MARA juga telah dipilih untuk mengikuti pendidikan lanjutan dalam bidang TVET dan pelbagai bidang lain di China yang akan dihantar bermula bulan ini hingga September nanti,” katanya pada sidang media sempena Hari Anugerah Pendidik MARA 2024 di sini, hari ini.

Sementara itu Ahmad Zahid berkata skim yang menawarkan kursus jangka pendek dan panjang itu juga bagi memberi latihan kepada pendidik MARA untuk menjadi tenaga pengajar dalam ‘Skim Training For Trainers’ yang boleh mengajar pelajar serta warga pendidik lain.

Beliau berkata pihaknya juga akan meneliti keberkesanan penghantaran kumpulan pendidik MARA yang pertama itu, dan lebih ramai dalam kalangan mereka yang akan dihantar selepas ini menggunakan dana dalaman MARA.

Bagaimanapun beliau berkata ia bergantung kepada tempat pengajian yang ditawarkan dan kerjasama daripada institusi pendidikan tinggi luar negara.

Hari Anugerah Pendidik MARA 2024 yang dianjurkan untuk menghargai jasa 9,839 pendidik itu merupakan inisiatif MARA dalam memberi pengiktirafan terhadap pencapaian pendidiknya yang telah mencipta kecemerlangan untuk menyumbang kepada agenda pembangunan negara.

Empat anugerah disampaikan iaitu Anugerah Pendidik Cemerlang MARA, Anugerah Institut Pendidikan MARA (IPMa) Terbaik, Anugerah Khas Pendidik MARA dan Anugerah Tokoh Pendidik MARA.