SEPANG: Penyelidikan empirikal iaitu berasaskan pemerhatian atau eksperimen dan analisis data yang tepat menjadi teras penting membangunkan dasar negara lebih lestari serta berasaskan bukti, sekali gus memperkukuh agenda pencegahan rasuah dan tatakelola berintegriti.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki berkata beberapa negara yang berjaya melaksanakan dasar antirasuah dan reformasi tadbir urus telah memulakan usaha mereka melalui penyelidikan awal, kajian empirikal dan analisis risiko secara menyeluruh.
Beliau berkata negara seperti Hong Kong, Austria dan Korea Selatan membuktikan dasar antirasuah berpaksikan data bukan sahaja membantu mengenal pasti kelemahan sistem, malah memacu kepada reformasi pentadbiran serta peningkatan daya saing ekonomi.
Azam berkata Malaysia juga tidak terkecuali dalam menzahirkan iltizam politik dan pentadbiran terhadap pembanterasan rasuah dengan menggubal beberapa dasar nasional termasuk Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS), disokong oleh penilaian risiko rasuah secara berkala serta pengukuhan dasar governans sektor awam.
“Namun begitu, cabaran baharu dalam era digital, keterbukaan maklumat serta rangkaian ekonomi rentas sempadan menuntut kajian dan penyelidikan dalam governans, integriti dan antirasuah terus diperkasakan serta diselaraskan secara strategik antara pelbagai pihak berkepentingan,” katanya.
Azam berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Persidangan Penyelidikan Governans, Integriti dan Antirasuah Peringkat Kebangsaan kali keempat di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Azam berkata kajian bersifat empirikal memberi sumbangan besar dalam mengenal pasti jurang dan kelemahan dasar, pelaksanaan serta sistem sedia ada, selain menjadi asas penting pembentukan polisi berasaskan data lebih mampan, berfokus dan efektif.
“Dalam dunia semakin kompleks dan saling bergantung, usaha mencegah rasuah dan meningkatkan ketelusan memerlukan pendekatan berasaskan fakta, bukti serta penyelidikan berimpak tinggi,” katanya.
Azam berkata semua hasil penyelidikan dibentangkan sepanjang persidangan itu amat signifikan bagi penggubal dasar dan undang-undang untuk membangunkan dasar yang komprehensif dan berimpak tinggi.
“Bahkan data berhubung risiko dan analisis jurang berhubung kelemahan tatakelola, integriti dan rasuah dalam sektor yang dikenal pasti ini sudah pasti membantu pemegang taruh mengatur strategi lebih berkesan bagi menutup ruang dan peluang berlaku ketirisan, manipulasi dan rasuah,” katanya.
Azam berharap dapatan penyelidikan itu dapat diterjemahkan ke bentuk syor dan resolusi bersifat praktikal dan boleh dilaksanakan serta disalurkan kepada platform dasar lebih tinggi seperti Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional (JKKTN) untuk pertimbangan dan pelaksanaan.
Persidangan dua hari bermula hari ini, anjuran SPRM dan Institut Integriti Malaysia (IIM) bertemakan “Pembanterasan Rasuah: Bertunjangkan Tatakelola Baik dan Pembudayaan Integriti”.
Ia merupakan platform berkongsi ilmu, strategi dan amalan terbaik dalam memperkukuh tatakelola, membudayakan integriti dan membanteras rasuah - BERNAMA