KUALA LUMPUR: Perancis mengiktiraf Malaysia sebagai satu daripada peneraju industri inovasi di Asia Tenggara.
Duta Perancis ke Malaysia, Axel Cruau memuji komitmen Malaysia dalam memperkukuh kedudukannya sebagai peneraju serantau dalam bidang inovasi, transformasi digital dan pelaksanaan kecerdasan buatan (AI) secara beretika.
“Sidang Kemuncak AI ASEAN dan Ekspo Bandar Pintar Kuala Lumpur akan meletakkan Malaysia sebagai peneraju serantau dalam inovasi, transformasi digital dan pelaksanaan AI beretika,” katanya dalam ucapan perasmian Hari Inovasi Perancis-Malaysia 2025 di sini, pada Khamis.
Sidang Kemuncak AI ASEAN dijadual berlangsung dari 12 hingga 13 Ogos, manakala Ekspo Bandar Pintar Kuala Lumpur akan diadakan dari 17 hingga 19 September.
Cruau menegaskan bahawa Perancis dan Malaysia turut memperkukuh komitmen untuk mengukuhkan kerjasama dalam kemajuan inovasi dan teknologi.
Beliau turut memaklumkan bahawa teknologi Perancis kini digunakan secara meluas dan dibangunkan di Malaysia.
“Program seperti hari inovasi ini boleh menjadi platform yang bermakna untuk memajukan keutamaan bersama dalam bidang AI, teknologi hijau, kesihatan, wanita dalam teknologi dan pembangunan bakat yang penting bagi masa depan kedua-dua negara,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pejabat AI Kebangsaan (NAIO), Shamsul Izhan Abdul Majid berkata gabungan kepakaran Perancis dalam inovasi dan kejuruteraan serta kemajuan sektor digital Malaysia mewujudkan kerjasama menang-menang berdasarkan kepercayaan dan matlamat bersama untuk memanfaatkan AI demi kebaikan umum.
Beliau turut menyebut ekosistem pemula Perancis, Station F, yang menawarkan impak besar kepada usahawan AI di Malaysia.
“Station F menunjukkan bagaimana reka bentuk ekosistem yang luas dan idea-idea berani yang matang dapat membantu mengembangkan dan memudah cara penyelidikan kepada penyelesaian dunia sebenar.
“Diilhamkan oleh model ini, NAIO sedang membina laluan inovasi rentas sempadan dalam beberapa sektor – kesihatan, pengangkutan, pertanian, pendidikan, perkhidmatan awam dan keusahawanan mikro,” katanya dalam ucapan di majlis tersebut.
Hari Inovasi Perancis-Malaysia edisi kedua bertemakan “Mengemudi Sempadan Teknologi” itu dianjurkan oleh Kedutaan Perancis di Malaysia dengan kerjasama Business France, French Tech, Dewan Perniagaan dan Industri Perancis-Malaysia (CCIFM) serta Kelab Kesihatan Malaysia.
Selain sesi syarahan dan pembentangan, acara ini turut memberi peluang kepada alumni Malaysia daripada institusi pendidikan Perancis untuk berhubung dengan syarikat Perancis serta berinteraksi secara langsung dengan bakal majikan.