Your Title

KUALA LUMPUR: Lebih RM1.6 bilion telah disalurkan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) bagi melaksanakan pelbagai program untuk usahawan dan koperasi di Sabah dan Sarawak tahun lepas.

Menterinya Ewon Benedick berkata daripada jumlah itu, sebanyak RM953.9 juta diperuntukkan di Sabah dan RM731.2 juta di Sarawak.

Beliau berkata antara program yang telah dilaksanakan ialah Program Peningkatan Enterpris Bumiputera (BEEP) Plus Sabah dan Sarawak oleh SME Corp dengan sejumlah 112 usahawan mikro di kedua-dua negeri itu menerima geran berjumlah RM9.4 juta.

“Bagi tempoh 2021 sehingga 31 Mei lepas, SME Corp juga telah melaksanakan Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) di Sabah dan Sarawak yang memberi manfaat kepada seramai 1,171 usahawan belia dengan geran berjumlah RM17.1 juta.

“Selain itu, bagi tempoh 2021 hingga Mei 2024, Program Pembangunan Perniagaan Usahawan Mikro (BizME) oleh SME Corp telah memberi manfaat kepada 977 peserta di Sabah dan 372 peserta di Sarawak dengan masing-masing membabitkan peruntukan sebanyak RM1.64 juta dan RM1.01 juta,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Datuk Muslimin Yahaya (PN-Sungai Besar) yang mahu tahu apakah inisiatif proaktif kementerian itu dalam usaha membantu golongan usahawan kecil terutama dalam kalangan B40 dan usahawan belia di kawasan pedalaman dan luar bandar Sabah dan Sarawak.

Ewon berkata program lain ialah Skim Pembiayaan Usahawan Tamu di bawah Tekun Nasional yang membabitkan 505 penjaja dan peniaga kecil di Sabah dan Sarawak dengan pembiayaan RM2.2 juta.

“Bagi usahawan muda pula, pada 2023, Tekun Nasional juga telah menyalurkan pembiayaan berjumlah RM1.039 juta kepada 75 orang usahawan belia di Sabah dan Sarawak di bawah Skim Pembiayaan Usahawan Belia manakala Skim Pembiayaan Ikhtiar i-MUDA oleh Amanah Ikhtiar Malaysia pula, ia memanfaatkan seramai 9,894 usahawan di Sabah dan Sarawak dengan nilai pembiayaan sebanyak RM55.4 juta bagi tempoh Januari hingga Mei 2024.

“Selain itu, Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) juga telah membuka Pejabat Cawangan di Sabah pada 25 Mei 2023 dan di Sarawak pada 1 Oktober 2023. Semenjak itu, INSKEN telah melaksanakan 52 program melibatkan seramai 1,773 usahawan di Sabah dan Sarawak,” katanya.

Ewon berkata Program iTekad yang dilaksanakan SME Bank dengan geran peruntukan sebanyak RM300,000 telah memberi manfaat kepada 60 usahawan B40 di Sabah dan Sarawak manakala iTEKAD Bank Rakyat dengan peruntukan RM345,000 pula melibatkan 69 usahawan B40 di kedua-dua negeri berkenaan.

Beliau berkata kementeriannya juga melaksanakan Program Latihan Intensif Dalam Talian Bagi Usahawan Generasi Baru (N-GENE), Program Latihan Kerjaya dan Keusahawanan bagi Graduan TVET (GRACE) dan Program Usahawan Perantis (SPACE) di bawah Professional Training and Education For Growing Entrepreneurs (Protege) yang memanfaatkan 48 usahawan, selain menyediakan platform perkomersialan dan pemasaran kepada usahawan tempatan melalui ‘Showcase Satu Daerah Industri’ (SDSI) di Sabah dan Sarawak.

“KUSKOP juga telah memulakan Projek Tamu Desa yang bertujuan untuk membina dan menaik taraf kemudahan ruang niaga dan infrastruktur keusahawanan di luar bandar di Sabah dan Sarawak pada tahun ini, melibatkan peruntukan RM9 juta bagi pelaksanaan Fasa 1 yang merangkumi kerja-kerja bina baru atau naik taraf 36 tapak tamu desa di Sabah dan 13 tapak tamu desa di Sarawak,” katanya.