SEREMBAN: Pihak pembelaan mewakili pemandu Honda Jazz yang didakwa memandu secara berbahaya hingga menyebabkan tiga remaja maut pada Mac lepas, akan mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) bagi mengkaji dua pertuduhan dihadapinya.
Peguam Johan Radzi yang mewakili tertuduh berusia 17 tahun itu, memaklumkan perkara tersebut kepada Majistret Nurul Azuin Mohd Talhah dalam prosiding sebutan semula kes di Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Pihak pendakwaan yang diwakili Pegawai Pendakwa ASP M. Shanmugavell berkata pihaknya bersedia menyerahkan dokumen kepada pihak pembelaan.
Mengikut pertuduhan, remaja lelaki itu didakwa memandu secara berbahaya dan menyebabkan kematian Muhammad Aidil Ramdan Abdullah, 15, Muhammad Aswari Lotpi, 16, dan Aisar Azim Abdullah, 17, di Jalan Persiaran Senawang 1 pada 8.30 malam, 6 Mac lepas.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang membawa hukuman penjara antara lima hingga 10 tahun dan denda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM50,000, jika sabit kesalahan.
Bagi kesalahan kedua, dia didakwa mengikut Seksyen 26(1) akta sama kerana memandu tanpa lesen yang sah di tempat dan waktu yang sama, yang memperuntukkan denda tidak kurang RM300 hingga RM2,000 atau penjara tidak lebih tiga bulan atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Mahkamah kemudian menetapkan 26 Jun sebagai sebutan semula kes.