JOHOR BAHRU: Polis menahan 43 individu kerana terlibat dalam kegiatan perjudian laga ayam menerusi serbuan di Kampung Melayu Pandan dan Felda Aping Barat dekat Kota Tinggi.
Ketua Polis Johor Datuk Ab Rahaman Arsad berkata mereka terdiri daripada 27 lelaki dan seorang wanita tempatan serta 15 lelaki warga asing berusia antara 21 hingga 71 tahun.
Polis merampas 22 ayam hidup dan 12 yang mati bersama beberapa sangkar besi, peralatan sabung ayam, pisau taji ayam, penimbang berat dan wang tunai RM22,489.
Ab Rahaman berkata kumpulan itu memilih kawasan pedalaman bagi mengelakkan dikesan dengan hanya pelanggan dikenali dan dijemput boleh memasuki tempat tersebut.
Kumpulan itu membuat gelanggang berbentuk bulatan dan setiap sesi melaga ayam berlangsung kira-kira 20 minit dengan lima hingga 10 kali pertaruhan dijalankan.
Jumlah pertaruhan bermula dari RM550 hingga RM2,000 dan komisen 10% diambil penganjur.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, Seksyen 32(1)(a) Akta Kebajikan Haiwan 2015, Seksyen 32(2)(a) Akta Kebajikan Haiwan 2015 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Beliau memberi amaran tindakan tegas akan diambil terhadap penganjur, pemain serta penyokong berkait kegiatan perjudian khususnya melibatkan kekejaman terhadap haiwan.
Orang ramai diminta menyalurkan maklumat berkaitan perjudian haram menerusi talian 019-2792095 atau bilik gerakan 07-2212999. – Bernama