• 2025-09-20 09:46 PM

TELUK INTAN: Polis Perak sedang dan akan melaksanakan pelbagai siri latihan intensif melibatkan pegawai dan anggota yang menjaga keselamatan pembesar utama negara dan orang kenamaan (VVIP) bagi mempertingkatkan tahap kesiapsiagaan semasa bertugas.

Ketua Polis Perak Datuk Noor Hisam Nordin berkata ia sebagai langkah memperkemas dan menambah baik kawalan keselamatan ke atas Sultan Perak Sultan Nazrin Shah bagi mengelakkan insiden tidak diingini berulang.

“Pihak UTK (Unit Tindakan Khas) juga ada melakukan pengukuhan untuk keselamatan Tuanku (Sultan Nazrin Shah).

“Kami juga telah mengiklankan pengambilan baharu pegawai pengiring untuk Tuanku Sultan Perak, pada masa sama kami dalam proses memperkemas dan menambah baik kawalan keselamatan ke atas Sultan Perak,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan penutupan Program Ter..Paling Pahlawan Challenge 2025 anjuran IPD Hilir Perak di Padang Speedy di sini hari ini.

Media sebelum ini melaporkan seorang wanita cuba menghampiri Sultan Nazrin yang sedang berdiri menerima tabik hormat sewaktu lagu kebesaran negeri Perak sedang dimainkan semasa Sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri 2025 pada 31 Ogos lepas.

Wanita berusia 41 tahun yang dilaporkan mempunyai masalah psikiatri itu dituduh di Mahkamah Majistret Ipoh pada 8 Sept lepas di bawah Seksyen 352 Kanun Keseksaan kerana cubaan menyebabkan kecederaan parah - Bernama