• 2025-09-10 09:12 PM

BALIK PULAU: Polis mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian kanak-kanak kembar lelaki yang disyaki menjadi mangsa pengabaian ibu tiri mereka di sebuah pangsapuri di Sungai Korok di sini yang gambar insidennya tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Barat Daya ACP Sazalee Adam berkata pihaknya mendapat maklumat berhubung kejadian dua kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun itu selepas melihat gambar tular mereka tidur di kaki lima kediaman di Facebook dipercayai milik ibu kandung mangsa.

Hantaran Facebook itu memaparkan keadaan dua kanak-kanak itu yang disyaki diabaikan di sebuah pangsapuri dan siasatan mendapati kembar lelaki tersebut dipercayai dijaga ibu tiri mereka yang berusia 39 tahun.

Pemeriksaan awal terhadap dua kanak-kanak itu tidak menemukan kesan lebam atau kecederaan fizikal dan hasil percakapan pula mendapati mereka tidur di luar rumah kerana dimarahi selepas bermain api dengan membakar kertas di dalam rumah.

Dua beradik itu turut memaklumkan mereka tidak pernah didera oleh ibu tiri dan mereka dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk pemeriksaan lanjut.

Sazalee memaklumkan ibu kandung mangsa telah membuat laporan polis di Bayan Baru dan siasatan lanjut sedang dijalankan di bawah Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Sejak semalam tular di media sosial mengenai dua beradik kembar dipercayai menjadi mangsa dera apabila didakwa dipaksa tidur di kaki lima pangsapuri oleh ibu tiri mereka dan ibu mangsa tidak menyangka anak-anak yang dijaga bekas suami bersama isteri baharunya berdepan nasih sedemikian. – Bernama