• 2025-09-12 07:15 PM

KOTA BHARU: Polis menahan seorang lelaki berusia 36 tahun disyaki melakukan amang seksual terhadap kanak-kanak perempuan enam tahun di kawasan taman permainan Pantai Irama, Bachok semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Bachok DSP Mohd Azrie Sulaiman berkata kejadian berlaku 6.20 petang dan suspek yang semasa itu berpakaian kostum kartun dilaporkan memeluk, mencium dan menyentuh mangsa.

Perbuatan itu juga dirakam seorang orang awam di lokasi.

Mangsa dibawa ke hospital untuk pemeriksaan perubatan dan disahkan tidak mengalami kecederaan fizikal.

Ujian saringan awal mendapati suspek positif methamphetamine dan mempunyai beberapa rekod jenayah lampau.

Mohd Azrie berkata suspek direman sehingga 18 September bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Beliau mengingatkan orang ramai sentiasa memantau pergerakan anak di kawasan awam dan segera menyalurkan maklumat jika terlihat perbuatan mencurigakan. – Bernama