• 2025-09-06 09:05 PM

KLUANG: Polis menahan seorang lelaki berusia 21 tahun selepas kereta dipandunya terbabas dan merempuh pagar serta garaj sebuah rumah di Kampung Melayu, Simpang Renggam.

Ketua Polis Daerah Kluang ACP Bahrin Mohd Noh berkata kejadian berlaku kira-kira jam 11.30 malam ketika suspek memandu Proton Wira dari arah Johor Bahru menuju ke Ayer Hitam.

“Motokar tersebut telah terbabas dan melanggar pagar sebelum melanggar garaj kereta sebuah rumah. Bagaimanapun, pemandu motokar ataupun penghuni rumah tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian tersebut,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata ujian saringan air kencing mendapati suspek negatif dadah tetapi sampel darah diambil untuk mengesan kandungan alkohol.

Tahanan reman selama dua hari diperoleh bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan pengguna jalan raya.

Kes juga disiasat di bawah Seksyen 45A(1) akta sama kerana disyaki memandu dengan kandungan alkohol melebihi had ditetapkan.

Polis menasihati pengguna jalan raya agar sentiasa berhati-hati dan berhemah dalam pemanduan untuk mengelak kejadian tidak diingini.

Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi balai polis berhampiran atau IPD Kluang melalui talian 07-7784222.

Video berdurasi kira-kira tiga minit telah tular menunjukkan suasana di lokasi kejadian dan kerosakan pada pagar serta garaj rumah terbabit. – Bernama