PASIR GUDANG,: Polis menahan seorang lelaki tempatan bagi membantu siasatan berhubung kes ugutan dan perbuatan khianat terhadap seorang pemandu lain, di persimpangan lampu isyarat di sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Seri Alam Supt Mohd Sohaimi Ishak berkata sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Seri Alam, telah menangkap lelaki itu di kawasan Pasir Putih di sini, pada pukul 6.20 petang.

Beliau berkata kejadian itu dipercayai berpunca apabila lelaki berusia 35 tahun itu, dikatakan tidak berpuas hati dengan tindakan mangsa yang telah memotong kenderaannya, kira-kira pukul 2.15 petang.

Tambah beliau, dia kemudiannya bertindak menghimpit dan melanggar belakang kereta mangsa, sebelum mereka kemudiannya berhenti di tepi jalan dan dia mengeluarkan sebatang besi lalu mengugut untuk memukul mangsa.

“Selain itu, kita turut merampas sebuah kereta jenis Perodua Myvi dan sebatang besi berukuran 60 sentimeter. Bagaimanapun, hasil semakan mendapati lelaki terbabit tidak mempunyai sebarang rekod lampau,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mohd Sohaimi berkata lelaki itu kini ditahan reman selama empat hari bermula hari ini, di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, Mohd Sohaimi berkata pihaknya telah menahan seorang lelaki tempatan kerana memiliki pelbagai jenis mercun dan bunga api tanpa lesen, dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Desa Jaya di sini, petang semalam.

Beliau berkata lelaki berusia 28 tahun itu ditahan kira-kira pukul 5.10 petang dan pihaknya turut merampas kesemua barangan tersebut, yang dianggarkan bernilai RM8,000 dan dipercayai untuk dijual sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri akan datang.

Mohd Sohaimi berkata antara yang dirampas ialah tiga guni mercun bola Thai, satu kotak mercun ‘Happy Boom’ Padi, satu kotak mercun ‘Happy Boom Sunset Bar’ dan satu kotak mercun ‘Happy Boom Assorted Celebrations Cake.

“Bagaimanapun, hasil semakan mendapati dia tidak mempunyai sebarang rekod lampau dan kes disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.

“Lelaki itu kini ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah selama empat hari bermula hari ini,“ katanya. - Bernama