Your Title

NIBONG TEBAL: Jentera UMNO yang diturunkan untuk membantu kempen calon Kerajaan Perpaduan bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap Dr Joohari Ariffin menjalankan peranannya dengan baik setakat ini, kata Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan.

Beliau berkata ini dibuktikan apabila anggota parti itu dari bahagian dan negeri angkat yang dibawa ke sini bersungguh-sungguh melaksanakan tugasan diberikan mengikut kawasan yang ditetapkan kepada mereka.

“Negeri angkat Perlis, Kedah dan Perak ramai telah turun (ke Sungai Bakap) dan berada di rumah sewa dan saya kira ini SOP (prosedur operasi standard) biasa mana-mana PRK...kesungguhan jentera UMNO-BN (Barisan Nasional) amat terserlah.

“...bahagian dan negeri angkat di Pusat Daerah Mengundi (PDM) yang saya pergi tadi berfungsi dan saya mengharapkan mereka terus berfungsi dengan baik,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan bagi melihat kemajuan projek penghubung Jalan Bukit Panchor di sini hari ini.

Ditanya mengenai keseimbangan kempen calon Pakatan Harapan (PH) Joohari dan Perikatan Nasional (PN) Abidin Ismail, Ahmad yang juga Ketua Sekretariat War Room PRK DUN Sungai Bakap berkata kedua-dua calon berusaha keras kerana satu pihak berusaha untuk menang manakala satu pihak lagi cuba mempertahankan kerusi milik mereka.

“Di sini, sekali lagi saya ingin menyebut bahawa tidak ada sebarang manfaat jika diberi kepada pembangkang untuk menyelesaikan masalah, contoh macam hari ini masalah kenderaan berat lalu kawasan perumahan yang menjejaskan keselamatan, kehidupan dan kesihatan penduduk.

“Yang selesaikan kerajaan pusat, kerajaan negeri bantu pastikan projek ini dilaksanakan untuk manfaat rakyat. Itu contoh bila berpaut dengan kerajaan macam-macam perkara kita boleh perolehi. Tetapi, siapa (yang ada) di belakang Abang Abidin (calon PN) yang mempunyai kuasa untuk menolong rakyat?,” katanya.

Joohari dan Abidin bersaing dalam pertandingan satu lawan satu pada PRK DUN Sungai Bakap, 6 Julai ini, yang diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan tempoh berkempen 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon bertanding Sabtu lepas hingga 11.59 malam, 5 Julai.