KUALA LUMPUR: Seorang pengurus syarikat automotif mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan memperdaya dan menggunakan dokumen palsu bagi menuntut wang insentif berjumlah RM424,000 di bawah program Penjana Kerjaya.

Kamarudin Mohd Hussin, 45, sebagai pengurus syarikat PB Maju Automotif didakwa memperdayakan dua pegawai Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dengan mengemukakan senarai nama pekerja syarikatnya melalui sistem Penjana Kerjaya bagi tujuan permohonan Program Insentif Pengambilan Pekerja dan Bantuan Mobiliti sedangkan pekerja itu tidak pernah bekerja dengan tertuduh.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu sehingga mendorong Perkeso untuk menyerahkan wang insentif Penjana Kerjaya berjumlah RM424,000 secara pindahan akaun Perkeso kepada akaun Maybank syarikat PB Maju yang pihak Perkeso tidak akan menyerahkan wang tersebut sekiranya tidak diperdayakan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Wisma Perkeso, Jalan Tun Razak, Kampung Baru di sini, sekitar Disember 2020, mengikut Seksyen 415 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 417 akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Kamarudin juga didakwa menggunakan dokumen palsu sebagai tulen iaitu Borang Pengesahan Pekerja atas nama Perusahaan Syarikat PB Maju Automotif bagi tujuan permohonan program insentif sama bernilai RM203,700 melalui sistem Penjana Kerjaya, untuk memperdayakan dua lagi pegawai Perkeso.

Perbuatan itu dilakukan di lokasi sama sekitar Januari 2021, mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 468 akta serupa yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun, dan boleh dikenakan denda, jika disabitkan kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nor Diana Nor Azwa menawarkan jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan berserta syarat tambahan tertuduh perlu melaporkan diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kuala Lumpur, dua bulan sekali.

Peguam R. Kengadharan, yang mewakili Kamarudin memohon jaminan itu dikurangkan atas alasan anak guamnya memberi kerjasama baik kepada pihak SPRM sepanjang siasatan dijalankan.

Hakim Azura Alwi membenarkan tertuduh diikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan selain memerintahkan pasportnya diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai serta melaporkan diri di pejabat SPRM Kuala Lumpur, dua bulan sekali.

Mahkamah menetapkan 29 Mac ini untuk sebutan kes bagi serahan dokumen. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image